
Pelantikan Tengku Zafrul dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh selama dua tahun.
Pelantikan itu juga bertujuan bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
“Perdana Menteri menzahirkan harapan supaya beliau dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Tengku Zafrul dilantik menerajui agensi promosi pelaburan utama negara sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 3 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun.
Pelantikan terbabit dibuat bagi memanfaatkan kepakaran beliau dalam memacu agenda pelaburan nasional serta memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa melalui penyelarasan dasar industri yang lebih dinamik.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama enam tahun, iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kerjaya beliau dalam pentadbiran kerajaan bermula apabila mengangkat sumpah sebagai Senator buat kali pertama pada 10 Mac 2020 untuk jawatan Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal kedua pada 3 Disember 2022, dan secara rasmi menamatkan perkhidmatan di Dewan Negara pada 2 Disember 2025.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.