‘Mesyuarat mana yang putuskan Dr Sam calon PM?’ – Menantu Hadi persoal
Perdebatan mengenai siapa calon Perdana Menteri daripada Pas terus berlarutan apabila menantu kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Zaharudin Muhammad tampil mempersoalkan usaha mengangkat Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar ke posisi itu.
Walaupun menyokong peranan Samsuri sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, beliau secara terbuka menegaskan bahawa individu yang paling layak menjadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Idris Ahmad.
Dalam respon balasnya terhadap komen Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor yang mempertikai pandangan tersebut, Zaharudin mempersoal, mesyuarat mana yang memutuskan Ahmad Samsuri sebagai PM kerana mesyuarat memilih calon belum pun dimulakan.
“Saya jawab ringkas dulu, isunya mustahil Tuan Ibrahim atau Ustaz Idris setuju atau tidak (melantik Ahmad Samsuri calon PM) kerana isu ini belum mesyuarat pun.
“Soalan lebih tepat ada dua. Pertama, mesyuarat mana yang putuskan dia (Ahmad Samsuri) PM?
“Jawapannya pasti bukan rasmi parti, maka soalan lanjut ialah kenapa ada pihak yang promosikan dan angkat Dr Sam, bukan Tuan Ibrahim atau Ustaz Idris?,” soalnya.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Zaharudin menyokong jika Ahmad Samsuri dilantik sebagai Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang di Parlimen supaya tiada percanggahan keputusan-keputusan penting kelak jika ketua pembangkang adalah orang lain.
Namun dalam soal calon PM, individu yang lebih layak katanya adalah Tuan Ibrahim dan Idris Ahmad.
Ia kemudian mendapat respon Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor yang bertanya adakah menantu Abdul Hadi itu akan berkeras dengan pandangan peribadinya jika Tuan Ibrahim dan Idris Ahmad menyokong Ahmad Samsuri sebagai calon PM.
Laman itu juga mencabar untuk mengadakan muzakarah dengan mereka secara tertutup dan mengingatkan supaya tidak lagi menimbulkan kontroversi secara terbuka.
“Sebab ustaz memang tak layak jadi pemimpin pun. Kalau tak puas hati, kita aturkan muzakarah dgn DUPNS secara tertutup. Tak perlu la timbulkan kontroversi secara terbuka lagi,” kata laman itu.
Membalas lanjut komen tersebut, Zaharudin menekankan bahawa faktor senioriti, pengalaman serta kelayakan dari sudut hukum tidak boleh dipinggirkan dalam menentukan calon Perdana Menteri.
“Sedangkan dari segi senioriti dan pengalaman serta kelayakan hukum, mereka berdua jauh lebih layak. Banyak kebaikan DS TITM dan Datuk Ustaz Idris ketika mereka berdua menjadi menteri. Kenapa kumpulan ini tidak highlight dan angkat?” soalnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.