MB PERLIS WAJAR BUAT KEPUTUSAN MENANG-MENANG YANG MENGUNTUNGKAN RAKYAT DAN NEGERI

 



19 MAC 2026


MB PERLIS WAJAR BUAT KEPUTUSAN MENANG-MENANG YANG MENGUNTUNGKAN RAKYAT DAN NEGERI 


Selama dua hari berturut-turut saya berkesempatan bertemu mangsa dan melihat sendiri kesan kebakaran yang berlaku di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis dan Kampung Kota, Indera Kayangan. 


Oleh kerana sedar sumbangan peribadi tidaklah seberapa, maka inisiatif telah diambil untuk berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan pandangan tentang sumbangan tambahan yang boleh diberikan. 


Kelmarin kami dimaklum oleh Pengarah Pembangunan Negeri Perlis, Puan Maznah binti Musa tentang persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai pembinaan semula rumah-rumah mangsa yang layak berdasarkan syarat-syarat yang diperlukan pada kadar biasa rumah baru bantuan kerajaan iaitu sebanyak kira-kira RM80,000 sebuah. 


Kelmarin juga saya difahamkan YAB Menteri Besar turut sama datang sekali lagi dan mengumumkan pembiayaan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) untuk membina semula rumah ganti pada kadar yang tidak dinyatakan. 


Saya percaya yang penting dalam isu kebakaran ini ialah mangsa boleh mendapatkan semula rumah untuk didiami. Pada masa yang sama, YAB Menteri Besar juga boleh menjimatkan peruntukan negeri. 


Oleh kerana itu, eloklah YAB Menteri Besar menyambut kesudian Kerajaan Persekutuan membantu mangsa-mangsa yang layak dan MAIPs pula melengkapkan lagi bantuan terutama kepada mangsa yang terlepas daripada syarat kelayakan rumah baru ini. 


Dengan cara ini, semua mangsa boleh mendapat pembelaan optimum sewajarnya dan MAIPs juga boleh menjimatkan sebahagian peruntukannya untuk kegunaan lain sepanjang tahun. Ia adalah keputusan menang-menang yang bukan saja menguntungkan rakyat tetapi juga negeri. YAB Menteri Besar mesti membuat keputusan terbaik untuk manfaat semua. 


NOOR AMIN BIN AHMAD

Pengerusi Pakatan Harapan Perlis

Pengerusi KEADILAN Perlis




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.