SEDIAKAH UMNO TARIK BALIK PENGGANTUNGAN H2O?
13 Mac 2026
Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein menunjukkan jalan mudah kepada kepimpinan UMNO itu jika benar inginkan beliau kembali bersama parti itu.
Jalan itu ialah dengan UMNO segera menarik balik penggantungan terhadap dirinya.
Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, untuk kembali menyertai UMNO bukanlah keputusan yang sukar baginya.
“Dalam tiga tahun saya digantung, saya tidak pernah keluar parti pun.
“Jadi hari ini apabila pimpinan telah membuat pendirian, saya rasa penting untuk beritahu kepada warga Sembrong dan pimpinan UMNO Sembrong terlebih dahulu bahawa tak timbul masalah langsung bagi saya untuk terima apa yang dinyatakan Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi itu.
“Yang penting saya tidak pernah lari (dari UMNO
“Kalau betul mereka ikhlas dan tarik balik penggantungan, saya akan kembali berjuang dalam UMNO, rapatkan barisan kita dalam UMNO Sembrong, UMNO Johor untuk perkasa dan perkukuhkan parti keramat UMNO,” tegasnya dalam satu kenyataan melalui video yang disiarkan di laman sosialnya.
Dalam kenyataan tidak lama sebelum ini, Hishammuddin atau H2O yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong menegaskan, beliau tidak akan merayu untuk kembali semula kepada UMNO.
Ini kerana katanya, beliau tidak tahu dan tidak diberitahu apa kesalahannya sehingga digantung keahlian selama enam tahun pada 2023 lalu.
Katanya lagi, beliau juga tidak pernah diberi surat tunjuk sebab mengenai butiran kesalahannya sebelum dijatuhkan hukuman gantung keahlian itu.
Kini menjelang PRU16 yang bakal tiba dan UMNO bersungguh mahu memperolehi keputusan lebih baik sehingga ingin bertanding 115 kerusi Parlimen, lalu diperkenalkan agenda Rumah Bangsa supaya bekas ahli yang dipecat dan digantung keahlian boleh kembali semula kepada UMNO.
Harapannya ialah melalui penyatuan semula bekas-bekas pemimpin itu, UMNO/BN mampu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding 30 yang dimenangi pada PRU15 lalu.
Setakat ini, ramai yang menolak Rumah Bangsa, kecuali yang berminat hanyalah Khairy Jamaluddin atau KJ dan bekas pemimpin veteran, Abd Kadir Sheikh Fadzir.
Nampaknya melalui kenyataan terbaru ini H20 tetap dengan pendirian asalnya iaitu oleh kerana beliau tidak tahu dan tak pernah diberitahu apa kesalahannya, maka tiada sebab baginya untuk membuat rayuan.
Jika ingin beliau kembali, caranya mudah saja - tarik balik penggantungan keahliannya.
Sejujurnya, melihat kepada apa yang ditimpakan kepada H2O selama ini, jalan mudah yang dinyatakannya itu - jika UMNO ikhlas ingin beliau kembali, tariklah penggantungannya - adalah sesuatu yang logik dan wajar.
Kalau nak merayu, mesti tahu dulu apa kesalahan yang dilakukan.
Kalau kesalahan pun tak diberitahu, bagaimana nak merayu?
Persoalannya, sediakah Zahid Hamidi secara ikhlas hati menarik balik penggantungan H2O itu? - ShahbudinHusin 13Mac 2026.
https://fb.watch/FP3eO-9zW1/?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.