
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada persidangan Dewan Rakyat pada 2 Mac 2026.
PENDAPAT, 15 Mac – Pada 2 Mac 2026 negara menyaksikan satu detik penting dalam wacana reformasi institusi apabila cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun dibentangkan di Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut gagal diluluskan pada bacaan kedua apabila hanya memperoleh 146 undi sokongan, iaitu kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.
Rentetan kegagalan tersebut, mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2026 memutuskan agar Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri dibentangkan semula dalam persidangan Dewan Rakyat pada Jun 2026.
Perkembangan ini membuka kembali perbincangan yang lebih luas iaitu apakah had tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan satu keperluan institusi, atau sekadar pilihan politik?

Sistem Perlembagaan dan Kedudukan Perdana Menteri
Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri. Dalam erti kata lain, tempoh seseorang Perdana Menteri memegang jawatan bukan ditentukan oleh masa tertentu, tetapi bergantung kepada kepercayaan majoriti di Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong juga tidak mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri secara langsung. Sekiranya Perdana Menteri kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen. Jika permohonan pembubaran ditolak, maka peletakan jawatan perlu dilakukan bersama seluruh anggota Jemaah Menteri.
Berdasarkan kerangka ini, ada pandangan yang menyatakan bahawa penetapan had tempoh akan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Namun hakikatnya, kuasa prerogatif tersebut hanya berkaitan pelantikan Perdana Menteri, bukan tempoh jawatannya. Oleh itu, penetapan had tempoh tidak menjejaskan kedudukan prerogatif baginda.

Namun tanpa had masa yang jelas, sistem sedia ada membolehkan seseorang pemimpin memegang jawatan selama mana beliau mengekalkan sokongan majoriti. Keadaan ini berpotensi melemahkan mekanisme semak dan imbang serta membuka ruang kepada salah guna kuasa, ketirisan moral dan pengumpulan pengaruh politik yang terlalu besar pada satu individu.
Pengalaman Malaysia dan Keperluan Reformasi
Pengalaman politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memperlihatkan betapa pentingnya reformasi institusi. Dalam tempoh empat tahun sahaja antara 2018 hingga 2022, Malaysia menyaksikan pertukaran tiga orang Perdana Menteri akibat kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa walaupun sistem kepercayaan majoriti berfungsi, ia juga boleh menimbulkan ketidakstabilan politik jika tidak disertai dengan reka bentuk institusi yang lebih kukuh.
Malah, konsep had tempoh bukanlah sesuatu yang asing dalam konteks Malaysia sendiri. Negeri Pulau Pinang misalnya telah memperkenalkan had dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri sebagai langkah memperkukuhkan tadbir urus politik.
Amalan Antarabangsa
Dari sudut perbandingan antarabangsa, had tempoh jawatan merupakan satu amalan yang semakin meluas dalam sistem demokrasi moden. Di Indonesia misalnya, pengalaman pemerintahan Presiden Soeharto selama 32 tahun telah membawa kepada pindaan Perkara 7 UUD 1945 pada tahun 1999 yang mengehadkan Presiden kepada dua penggal sahaja. Reformasi ini lahir daripada trauma politik terhadap pemerintahan yang terlalu lama serta isu korupsi, kolusi dan nepotisme.
Sementara itu, Filipina pula mengambil pendekatan yang lebih ketat selepas pengalaman pemerintahan diktator Ferdinand Marcos selama 21 tahun. Perlembagaan 1987 menetapkan bahawa Presiden hanya boleh berkhidmat satu penggal selama enam tahun tanpa peluang untuk bertanding semula.
Seterusnya, Thailand melalui Perlembagaan 2017 mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada maksimum lapan tahun. Isu ini pernah mencetuskan perbahasan undang-undang apabila tempoh perkhidmatan bekas Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dicabar di mahkamah. Korea Selatan pula mengehadkan tempoh Presiden kepada satu penggal lima tahun bagi mengelakkan pengulangan pengalaman pemerintahan autoritarian pada masa lalu.
Selain itu, Amerika Syarikat secara tradisinya mengikuti amalan dua penggal sejak zaman George Washington. Namun selepas Franklin D. Roosevelt memenangi empat penggal berturut-turut, Kongres meluluskan Pindaan ke-22 pada tahun 1951 bagi mengehadkan Presiden kepada dua penggal sahaja. Malah, Perancis juga memperkenalkan had dua penggal berturut-turut selepas pindaan perlembagaan pada tahun 2008.
Namun demikian, walaupun United Kingdom tidak mempunyai had tempoh rasmi, mekanisme semak dan imbang berlaku melalui kematangan parti politik yang boleh menukar pemimpin parti apabila dianggap menjadi liabiliti politik.
Perspektif Fiqh Siyasah
Dalam kerangka hukum Islam, kepimpinan politik tidak tergolong dalam ibadah khusus yang bersifat ta‘abbudi, beku dan statik. Sebaliknya, ia berada dalam ruang muamalat dan siyasah yang membenarkan ijtihad berdasarkan keperluan zaman.
Dalam konteks ini, dua prinsip utama boleh dikenal pasti iaitu:Pertama ialah prinsip tetap (thawabit) yang berkaitan dengan syarat asas kepimpinan seperti keadilan, amanah dan keupayaan mentadbir. Nilai-nilai ini tidak berubah walaupun sistem politik berubah.Kedua ialah prinsip berubah (mutaghayyirat) yang melibatkan mekanisme pelantikan, bentuk pemerintahan dan tempoh jawatan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan masyarakat.
Oleh kerana tiada nas qat‘i yang menetapkan atau melarang had tempoh kepimpinan, maka penetapannya kembali kepada prinsip al-ibahah al-asliyyah, iaitu hukum asal sesuatu perkara adalah harus selagi tidak terdapat dalil yang melarangnya.
Had Tempoh sebagai Instrumen Siyasah Syar‘iyyah
Dari sudut usul fiqh, had tempoh boleh difahami melalui beberapa kerangka utama. Pertama ialah konsep al-‘aqd atau kontrak pelantikan. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, Perlembagaan dan undang-undang negara boleh dianggap sebagai manifestasi kepada bai‘ah moden antara rakyat dan pemimpin. Apabila had tempoh ditetapkan melalui undang-undang, ia menjadi syarat dalam kontrak tersebut. Prinsip fiqh menyebut “Al-muslimuna ‘ala shurutihim” iaitu Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka persetujui. Oleh itu, pemimpin yang menerima jawatan di bawah sistem yang menghadkan tempoh sebenarnya terikat untuk mematuhinya.
Kedua ialah prinsip sadd al-dhara’i, iaitu menutup pintu kepada kerosakan yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Pemerintahan yang terlalu lama sering kali membawa kepada pemusatan kuasa, kelemahan institusi pengawasan serta kelesuan inovasi dalam pentadbiran negara.
Ketiga ialah konsep maslahah mursalah, iaitu kepentingan awam yang tidak dinyatakan secara khusus dalam nas tetapi selari dengan maqasid syariah. Had tempoh boleh membantu menjaga kestabilan sistem politik dan memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan teratur.
Pandangan Ulama dan Falsafah Sejarah
Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan bahawa kepimpinan merupakan kontrak antara pemimpin dan masyarakat bagi memastikan maslahat rakyat terpelihara. Oleh itu, sebarang mekanisme yang membantu memastikan pemimpin kekal adil dan berfungsi dengan baik boleh diterima sebagai ijtihad siyasah.
Ibn Khaldun pula dalam al-Muqaddimahmengingatkan bahawa kekuasaan mempunyai kitaran hayat. Sesebuah pemerintahan lazimnya melalui fasa kemuncak sebelum memasuki fasa kemerosotan apabila semangat pengorbanan digantikan dengan kecenderungan kepada kemewahan dan pembaziran. Ibn Taymiyyah juga menegaskan bahawa kepimpinan adalah amanah yang besar. Jika amanah tersebut tidak ditunaikan dengan baik, ia boleh berubah menjadi pengkhianatan terhadap masyarakat. Dalam hal ini, had tempoh boleh dianggap sebagai mekanisme institusi untuk memotong kitaran kemerosotan tersebut sebelum ia merosakkan sistem negara.
Akhirnya, Islam melihat kepimpinan bukan sebagai kemuliaan yang harus dipertahankan selama mungkin, tetapi sebagai amanah yang dipinjamkan untuk satu tempoh tertentu. Seorang pemimpin boleh datang dan pergi tetapi negara dan rakyat harus terus berdiri. Oleh itu, penetapan had tempoh jawatan bukanlah bertujuan mengecilkan peranan seseorang pemimpin, sebaliknya memastikan bahawa kuasa sentiasa bergerak dalam orbit amanah, bukannya berubah menjadi milik peribadi.
Dalam optik siyasah syar‘iyyah, had tempoh jawatan Perdana Menteri boleh dianggap harus, malah dalam keadaan tertentu boleh meningkat kepada sunat atau bahkan wajib sekiranya ketiadaan had tersebut membuka ruang kepada kezaliman dan kerosakan dalam sistem pemerintahan. Hakikat ini selari dengan pemerhatian Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah bahawa kekuasaan yang terlalu lama berada di tangan yang sama cenderung membawa kepada kemewahan, kelalaian dan akhirnya kemerosotan sesebuah pemerintahan.
Pada masa yang sama, para pemimpin Islam terdahulu sentiasa menyedari betapa beratnya amanah kuasa. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata bahawa sekiranya seekor keldai tersandung di Iraq, beliau bimbang Allah akan menyoalnya mengapa jalan tidak diratakan untuknya. Kata-kata ini menggambarkan bahawa kepimpinan dalam Islam bukanlah simbol kemuliaan, tetapi amanah yang sarat dengan tanggungjawab.
Justeru itu, kuasa yang baik bukanlah kuasa yang kekal selamanya, tetapi kuasa yang tahu bila masanya untuk diserahkan kepada generasi seterusnya, agar sistem pemerintahan terus hidup, segar dan terpelihara daripada kecenderungan kepada kezaliman. Maka, pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 43(2)(a) dalam menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri untuk dua penggal atau sepuluh tahun dengan syarat mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen adalah selari dengan kehendak maqasid syariah.
YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah IKIM





No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.