KALAU PARTI BAHARU ADA MASALAH, MASUK PAS PILIHAN TERBAIK BAGI HAMZAH
23 Mac 2026
Apabila berjumpa kenalan, rakan dan saudara-mara ketika pulang berhati raya di kampung, topik soalan yang jarang terlepas mereka tanyakan ialah berkaitan politik.
Macam-macam mereka tanyakan kerana ingin tahu isu semasa dalam politik negara.
Untuk raya tahun ini, selain mengenai siapa boleh menang pada PRU16 akan datang, isu lain yang menarik minat orang-orang kampung ialah berkenaan hala tuju politik Hamzah Zainuddin selepas beliau dipecat daripada Bersatu.
Secara jujur berdasarkan setakat apa yang saya tahu, saya nyatakan bahawa Hamzah sedang dalam proses mendaftarkan parti baharu untuk menaungai perjuangannya bersama rakan-rakannya.
Sehingga ini parti itu ialah Parti Keluarga Malaysia yang pendaftaran awalnya telah dikembalikan kerana ada dokumen tidak lengkap.
Pihak penaja parti itu telah pun melengkapkan dokumen-dokumen yang tidak lengkap itu dan masih menunggu jawapan seterusnya daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS.
Ada juga laporan menyatakan Hamzah akan mengambil alih parti Berjasa yang ketika ini sudah pun merupakan ahli bersekutu kepada PN.
Tetapi, laporan tidak rasmi yang lain menyebut Ahli Parlimen Larut itu berkemungkinan ada pilihan lain selain menerajui Parti Keluarga Malaysia atau mengambil alih Berjasa dan semuanya akan diketahui tidak berapa lama lagi.
Dikatakan khabar angin mengenai Parti Keluarga Malaysia dan Berjasa sengaja ditimbulkan agar musuh-musuh politiknya tidak fokus kepada sasaran yang sebenar bagi memudahkan Ketua Pembangkang melengkapkan apa yang sebenar yang dirancangnya.
Apa pun, saya beritahu mereka yang bertanya bahawa Hamzah dan kumpulannya, sama ada yang sudah dipecat daripada Bersatu atau masih bersama Bersatu, pasti akan bersama PN pada PRU akan datang.
Hamzah, seperti yang dinyatakannya sendiri kepada media, beliau tidak akan kembali kepada UMNO semula dan jauh sekali untuk mencari simpang bagi berpelukan dengan PH.
PN yang kini diterajui oleh PAS tetap menjadi pilihan Hamzah untuk beliau bersama-sama dalam meneruskan perjuangannya pada PRU akan datang.
Pun begitu, ada satu soalan menarik yang ditanyakan - bagaimana jika sehingga PRU16 akan datang pun Hamzah masih gagal mencari parti baru bagi menaunginya perjuangannya, maka apa pilihan akhirnya?
Saya sebenarnya tidak tahu apa pilihan Hamzah jika berdepan situasi itu dan saya juga bukan pihak yang layak menjawab bagi pihaknya, tetapi secara jujur saya nyatakan bahawa pilihan terbaik baginya ketika itu ialah dengan memilih menyertai PAS.
Bersama PAS, sebagaimana Shahidan Kassim dan Annuar Musa selesa bersama wadah itu, Hamzah dan kumpulannya juga diyakini akan turut menikmati keselesaan meneruskan perjuangannya.
Lebih daripada itu, dengan Kumpulan Hamzah yang memiliki 19 Ahli Parlimen memilih menyertai PAS, parti itu senang-senang mampu beroleh antara 65 hingga 70 kerusi Parlimen pada PRU16 nanti.
Secara automatik PAS akan bertambah kuat dan bertambah cerah juga harapan untuk menerajui Putrajaya.
Paling penting, dengan Hamzah membawa kumpulannya menyertai PAS, cubaan Muhyiddin Yassin untuk menghalang bekas Timbalan Presiden Bersatu menyertai PN akan terbantut dengan sendirinya.
Dengan menyertai PAS, Hamzah secara automatik bersama PN. - ShahbudinHusin 23Mac2026.
Nota - bagi pertanyaan orang kampung yang bertanya mengenai parti mana boleh menang pada PRU16, saya akan menulisnya dalam artikel lain selepas ini. Terima kasih.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1243702834419500&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.