SELEPAS ANNUAR MUSA, NOH OMAR JUGA TOLAK RUMAH BANGSA
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, hanya bersedia kembali pada UMNO bagi menyokong inisiatif Rumah Bangsa, sekiranya parti itu memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.
Noh Omar yang dipecat daripada UMNO pada 2023 berkata, jika benar parti itu mahu membangunkan Rumah Bangsa, ia boleh dilaksanakan tanpa perlu menjalinkan kerjasama melalui kerajaan sedia ada.
"Saya punya prinsip senang sahaja...kalau benar-benar hendak buat Rumah Bangsa, tidak payah bekerjasama dengan DAP.
"Saya boleh kembali kepada UMNO tetapi bukan selagi parti itu bekerjasama dengan DAP...lagipun jiwa saya, memang jiwa UMNO," katanya kepada BH, di sini.
Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pelawaan di bawah inisiatif Rumah Bangsa berkenaan juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.
Sehingga kini, antara pemimpin yang dilaporkan berminat untuk menyertai Rumah Bangsa ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Pada masa sama, Noh berkata, pihaknya tidak boleh menerima kerjasama yang dibuat UMNO dan parti yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) itu kerana prinsip yang berbeza.
Sumber - Berita Harian
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1232976512158799&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.