Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan dan berhemah pada setiap masa, termasuk ketika musim perayaan, bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus terpelihara.
Dalam masa yang sama, JIM turut mengambil kira sensitiviti warga asing yang menyambut perayaan jauh dari keluarga dengan memastikan setiap pemeriksaan dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan profesional. Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di lokasi tumpuan awam.
Bagi tempoh 20 hingga 24 Mac 2026, JIM telah melaksanakan 45 pemeriksaan dan pemantauan imigresen (Ops Pantau) di seluruh negara melibatkan sebanyak 3,826 pemeriksaan ke atas warga asing di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan status serta dokumen perjalanan mereka adalah sah. Pelaksanaan ini dibuat secara terancang bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan dengan teratur, terkawal dan berintegriti.
Pegawai penguat kuasa di lapangan sentiasa diingatkan untuk mematuhi disiplin serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, di samping menghormati sensitiviti budaya dan norma setempat dalam setiap pelaksanaan tugas.
Penguatkuasaan imigresen tidak tertakluk kepada musim tertentu memandangkan pelanggaran undang-undang boleh berlaku pada bila-bila masa. Dari sudut taktikal, tempoh tertentu termasuk musim perayaan boleh menyokong keberkesanan pengesanan berdasarkan pola pergerakan serta tumpuan individu di lokasi tertentu. Walau bagaimanapun, setiap tindakan dilaksanakan berasaskan risikan dan keperluan penguatkuasaan, bukan faktor masa semata-mata.
JIM komited untuk terus mengimbangi keperluan penguatkuasaan undang-undang dengan kepekaan terhadap norma serta keharmonian masyarakat. Setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan prinsip profesionalisme, integriti dan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
#tiadaharitanpaoperasi #ImigresenPerkasa #MADANIBekerja #KDNYakinMADANI #melakarwajahbaharujim










No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.