DR AKMAL KEMBALI BUKA JALAN KERJASAMA UMNO – PAS, ENGGAN TANDING JIKA BN BERSAMA PH
12 February 2026
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh sekali lagi tampil menyarankan agar UMNO dan PAS bekerjasama.
Jika sebelum ini Adun Merlimau itu menyarankan kerjasama tersebut diwujudkan dalam PRU16 akan datang, kali ini beliau mahu ia dimulakan pada PRN Melaka yang akan berlangsung sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, UMNO dan PAS perlu membentuk pakatan pada PRN Melaka kerana perpecahan politik Melayu ketika ini melemahkan pengaruh mereka walaupun di kawasan majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu.
Dr Akmal berkata lagi, PRN Melaka sepatutnya menjadi kes ujian bagi kerjasama politik antara dua parti Melayu-Muslim terbesar itu.
“Jika kita mahukan perpaduan Melayu, kita kena mula sekarang. Kita tak boleh hanya bercakap.
“Kita mesti buktikan di Melaka, walaupun UMNO perlu beri laluan kepada PAS (di beberapa kerusi),” katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.
Beliau menegaskan, UMNO hanya boleh memulihkan kekuatannya dengan menjalin semula hubungan dengan pengundi teras Melayu-Bumiputeranya, sambil menyebut undi yang hilang daripada UMNO bukan pergi kepada PH, sebaliknya kepada PAS dan PN.
“Mungkin orang di Kuala Lumpur tak rasa. Anda boleh datang ke Melaka dan lihat sendiri, pergi ke kampung-kampung,” ujarnya.
Kata Dr Akmal, seruan ke arah perpaduan ‘bukanlah tentang merampas hak orang lain, tetapi tentang memastikan orang Melayu ‘rasa selamat dan bersatu’.
Serentak dengan itu, sebagai tanda komitmennya kepada penyatuan Melayu, Dr Akmal juga mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Melaka akan datang jika BN terus bekerjasama dengan PH.
Dalam PRN Melaka tahun 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH memperoleh lima dan PN (Bersatu) dua.
Bagaimanapun, Adun Rembia daripada UMNO, Jailani Khamis berpindah ke blok pembangkang selepas dilaporkan menyertai PAS pada 2023.
Kepada kedua-dua parti - UMNO dan PAS - mereka hendaklah mengambil serius saranan Dr Akmal ini jika benar-benar ingin melihat penyatuan Melayu tercapai di negara ini.
Tiada cara lain untuk mewujudkan penyatuan Melayu di negara ini melainkan dua parti Melayu terbesar itu sedia bekerjasama.
Oleh kerana pilihan raya paling awal di Semenanjung ialah PRN Melaka, amatlah sesuai langkah pertama dimulakan di negeri penuh bersejarah itu.
Lagi pun ketika ini, sementara salah satu komponen PN iaitu Bersatu sedang bermasalah dan UMNO pula tidak bertambah sokongan Melayu yang diperolehinya sejak bersama dalam kerajaan perpaduan yang ada DAP di dalamnya, maka pilihan yang terbaik ialah kedua-dua parti harus berbaik semula.
Lupakan sengketa lama, buang yang keruh dan ambil yang jernih demi kepentingan bangsa dan negara.
Bila bangsa Melayu secara majoritinya dapat disatukan, maka negara juga dapat diselamatkan.
Kerjasama UMNO dan PAS yang bermula di Melaka nanti, kemudian boleh diteruskan di PRN Johor dan seterusnya dalam PRU16 akan datang.
Politik negara kita berdepan kekalutan dan suasana tidak menentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana hampir saban minggu ada saja isu baru yang muncul merimaskan kehidupan rakyat.
Hanya dengan penyatuan Melayu yang bermula dengan UMNO dan PAS bekerjasama saja dapat memberi kestabilan kepada negara. - ShahbudinHusin 12Februari2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/02/dr-akmal-kembali-buka-jalan-kerjasama-umno-pas-enggan-tanding-jika-bn-bersama-ph/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.