YB Pas Sabah gembira sambut Krismas pertamanya
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai dari Pas, Datuk Dr Aliakbar Gulasan memberitahu tahun ini merupakan perayaan Krismas pertama disambutnya selepas bergelar wakil rakyat.
“Sambutan Krismas pertama saya selepas menjadi ADUN,” katanya pada kapsyen video yang dikongsinya di Facebook.
Dalam rakaman video pula, Aliakbar menerusi ucapannya juga menyebut, “Saya rasa ini majlis Krismas yang pertama selepas saya menjadi ADUN untuk Karambunai ini”.
Pesuruhjaya Pas Sabah itu juga mendoakan agar penduduk kampung sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Tuhan.
“Mudah-mudahan kita minta kampung kita penuh dengan rahmat Tuhan. Penduduknya sentiasa dirahmati, diberkati, dimurahkan rezeki,dilanjutkan usia dalam kesihatan.
“Dipermudahkan segala urusan kita. Kita akan bersama sampai bila-bila,” katanya semasa berucap di Kampung Kayu Madang.
Aliakbar mencipta sejarah apabila satu-satunya calon Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan majoriti hanya 365 undi.
Kunjungan Aliakbar di kampung yang menjadi markas PN pada PRN lalu turut dilihat disertai Tan Sri Annuar Musa.
Pada 2023, Annuar yang juga bekas menteri semasa UMNO itu telah dilantik sebagai Naib Ketua Pilihan Raya Pas.



