TAKZIAH KETUA PENERANGAN PASKIOK.



 Nabil Halimi


Saya ingin mengucapkan Takziah kepada Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari kerana sepanjang memikul tugas di Kementerian Belia dan Sukan dalam “Kabinet Bayangan” Perikatan Nasional, beliau tidak memberikan apa-apa idea nasional yang konstruktif akan portfolionya itu. Barangkali kerana kabinet bayangan PN kekal sekadar bayang-bayang tanpa isi.







Sewajarnya saudara Fadhli sebagai “Menteri Bayang- Bayang” Kementerian Belia & Sukan memberikan pandangan terhadap usaha Kerajaan Madani memberikan ruang kepada anak muda  untuk berkhidmat dengan pelantikan YB Taufiq Johari yang berusia 29 tahun sebagai Menteri Belia dan Sukan serta YB Tuan Chiew Choon Man yang berusia 34 tahun sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Pelantikan ini membuktikan Angkatan Muda Keadilan di bawah kepimpinan saudara Kamil Munim sangat agresif dalam memperkasakan peranan belia dalam pentadbiran kerajaan.


Saya yakin reformasi tidak terkubur dengan adanya Dato' Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi menteri kewangan. Sepanjang 3 tahun pentadbiran Dato' Seri Anwar, Malaysia telah melaksanakan reformasi besar dan berani seperti penyasaran subsidi, perluasan cukai yang tidak melibatkan barangan dan perkhidmatan asas, gaji minima, kenaikkan gaji penjawat awam serta disiplin fiskal dan kawalan hutang negara.


Kementerian Kewangan juga agresif dalam melakukan reformasi perundangan dan tatakelola yang baik seperti perlaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi mendisiplinkan perbelanjaan kerajaan,  RUU Perolehan Kerajaan bagi menghadkan kuasa menteri kewangan dengan mekanisme semak dan imbang, RUU Kredit Pengguna bagi mengawal selia industri kredit serta Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan awam bagi mengurangkan karenah biokrasi.


Hasilnya, ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam empat tahun, kadar pengangguran terendah dalam sedekad, inflasi terendah dalam 51 bulan, defisit fiskal menurun kepada 3.8% berbanding 5.5% pada 2022 dan hutang baharu negara berjaya dikurangkan.


Reformasi bukan sekadar pertukaran jawatan atau simbol tetapi ianya berkaitan iltizam orang yang diberi tanggungjawab untuk membaiki sistem pentadbiran, memperkukuh tatakelola kewangan dan memastikan akauntabiliti kuasa dilaksanakan dengan konsisten.


Justeru saya meminta saudara Fadhli merenungi apa idea-idea yang saudara bawakan untuk imbangi kementerian belia dan sukan. Jika tiada, andai kata PN menjadi kerajaan jangan sesekali saudara mengambil jawatan ini kerana bimbang terkubur kementerian ini bersama saudara.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.