
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran buku terbaharunya bertajuk ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times’ di Bukit Jalil pada 7 Disember 2025.
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, beliau telah memikirkan beberapa individu yang sesuai untuk dilantik isi kekosongan dalam Kabinet tetapi senarai belum dimuktamadkan.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Perdana Menteri berkata, senarai itu akan dirujuk bersama ketua parti politik yang membentuk Kerajaan MADANI sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Beliau juga memberi bayangan rombakan kecil akan dilakukan bagi mengisi kekosongan dalam Kabinet.
“Biarpun pelantikan ini adalah prerogatif Perdana Menteri, namun saya berpandangan perlu renung dan mendengar (nasihat ketua parti) selain berterima kasih atas pendapat mereka.
“Setakat ini, saya belum bertemu mana-mana ketua parti untuk membincangkan perihal ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Rethinking Ourselves: Justeice, Reform and Ignorance in Postnormal Times’, di Bukit Jalil hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar.
Ditanya gesaan MCA supaya Fadhlina Sidek digugurkan daripada Kabinet, Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan pihaknya berterima kasih atas cadangan berkenaan.
“Terima kasih atas pandangan MCA tetapi tidak mengapalah kerana ini (gesaan menggugurkan Fadhlina daripada Kabinet) adalah pandangan mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan Kabinet campur tangan dalam urusan Dewan Rakyat berhubung isu penggantungan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan.
“Kabinet juga dianggotai ketua parti yang akan memberi nasihat kepada rakan ‘backbencher‘ (ahli penyokong kerajaan) dan perkara ini biasa.
“Saya ingat (amalan sedemikian) sudah berpuluh tahun begitu, termasuk ketika mereka (PN) dalam kerajaan,” katanya.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.