Zukri.
Dalam mesyuarat awal selepas saya menang Timbalan Ketua Cabang Indera Mahkota dahulu, apabila dimaklumkan oleh Ketua Cabang saya, Dato' Ahmad Farhan Fauzi, yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, bahawa Pilihanraya Umum mungkin awal, saya memberitahunya bahawa dalam keadaan kita "kalah" perang media sosial baru seperti TikTok dan Instagram yang penghuni aktif majoritinya adalah pengundi remaja (18 hingga mungkin 25 tahun), dan hampir mustahil untuk kita menukar senario "kalah" itu kepada menang dalam tempoh setahun atau setahun lebih, maka kita tidak boleh menari rentak yang sama, kalau kita mahu menang Indera Mahkota, kaedah lainnya ialah dengan meningkatkan sokongan Melayu dewasa. Walaupun mereka juga terdedah dengan media sosial, tetapi mereka masih mempertimbang maklumat dari sumber konvensional.
Begitu juga baru-baru ini saya sempat ke Yadim dan bertemu pula dengan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, masa terluang kami bersembang politik, topik yang sama tentang kegagalan komunikasi di media-media sosial baru. Ustaz Nik Omar menjelaskan bahawa cara beliau menepis cerita-cerita media sosial baru ini adalah dengan turun sendiri berjumpa dengan golongan sasar, golongan pengundi remaja ini, dan in shaa Allah katanya, reaksi mereka agak positif. Pertamanya saya akui memang kohot terbaru pengundi remaja yang akan mengundi pertama kali jika pilihanraya umum diadakan akhir tahun hadapan atau awal tahun 2027 merupakan kumpulan pemain media sosial yang lebih kritikal, lebih banyak bertanya dan tidak menelan bulat-bulat, kita mungkin ada harapan dengan mereka, tetapi untuk pengundi remaja secara keseluruhannya kita masih kalah dalam perang media sosial baru ini. Kedua saya bersetuju dengan cara Ustaz Nik Omar, dalam keadaan kita tahu kita kalah dalam perang media sosial baru, cara lain untuk melawannya adalah kembali ke cara konvensional, turun bersemuka secara fizikal. Namun saya lontarkan satu persoalan kepada Ustaz Nik Omar, adakah orang lain berbuat perkara yang sama seperti beliau buat? Berapa ramai? Adakah ia menyeluruh? Ustaz mungkin berjaya dengan kumpulan remaja yang Ustaz jumpa, tetapi kalau ia tidak menyeluruh, hasilnya secara "nasional" akan tetap sama. Ustaz Nik Omar hanya tersenyum sebagai reaksi kepada pandangan saya.
Kita tengok keputusan Pilihanraya Negeri Sabah tempohari. Saya tahu kita pergi dengan jentera lengkap dan tersusun, membawa sekali latihan, ilmu serta kemahiran, tanpa lelah berminggu-minggu turun ke lapangan. Akhirnya kita kalah, kalah kerana apa? Bukan kerana jentera, kempen dan kerja. Tetapi kita kalah kerana sentimen, sentimen kenegerian, "Sabah for Sabahan" serta seumpamanya. Isu besarnya bukan sentimen itu, tetapi di mana sentimen itu ditularkan? Di media-media sosial baru. Kita tidak berdaya dan tidak bermaya melawan naratif yang dimainkan di situ. Kita kalah teruk di situ.
Saya tidak menulis ini untuk menyalahkan mana-mana pihak, agensi atau individu. Tetapi hakikatnya, semua senario yang saya ceritakan di atas menjurus kepada satu kesimpulan sahaja, bahawa komunikasi media sosial kita setakat ini ada masalah yang sangat besar, kita berterusan "kalah perang" di dalam sana. Mungkin benar, kita perlukan rekonstruksi besar-besaran sebelum terlambat.
Zukri Aksah
Setiausaha Negeri Keadilan Pahang
Timbalan Ketua Cabang Keadilan Indera Mahkota
#reformasi27tahun #keadilan26tahun #MADANIBekerja #AnwarIbrahimPM10 #neoreformia #MalaysiaMadani #PMX #AnwarIbrahim #DemiPertiwi #harapan
Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah Wan Ismail Parti Keadilan Rakyat Pakatan Harapan MyMadani Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.