KENYATAAN TEGAS
Tindakan Pemuda UMNO Selangor membuat gimik berkumpulan di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Puchong susulan satu kenyataan oleh Saudari Yeo Bee Yin jelas mencerminkan politik murahan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Budaya berhimpun beramai-ramai semata-mata untuk mencipta provokasi dan sensasi bukanlah politik matang. Ia sebaliknya memperlihatkan kegagalan untuk berhujah secara intelektual dan berfakta. Corak politik sebegini juga selari dengan gaya kepimpinan Dr Akmal Saleh, yang dilihat lebih gemar mencetuskan gimik dan emosi awam berbanding menawarkan solusi sebenar terhadap isu rakyat.
Jika satu komen atau kenyataan dianggap terlalu sensitif sehingga memerlukan tekanan fizikal dan demonstrasi berkumpulan, maka Pemuda UMNO Selangor wajar bermuhasabah dan melihat kembali realiti tahun 2022. Ketika Dato’ Sri Najib Razak dipenjarakan, terdapat ribuan reaksi dan posting di media sosial termasuk yang bersifat sinikal serta meraikan keputusan tersebut. Adakah semua individu itu juga wajar dijadikan sasaran gimik politik dan tekanan awam?
Politik tidak seharusnya digerakkan melalui intimidasi, provokasi atau demonstrasi terpilih. Jika benar ingin mempertahankan maruah politik dan institusi negara, lakukanlah melalui hujah yang matang, dasar yang jelas dan saluran demokratik yang beradab.
Rakyat Selangor tidak memerlukan sandiwara politik. Rakyat menuntut kepimpinan yang matang, berfikir dan bekerja demi masa depan negara.
DAPSY Selangor menegaskan bahawa kami akan terus berdiri teguh dan menunjukkan solidariti penuh bersama Saudari Yeo Bee Yin.
Sebarang cubaan intimidasi politik, tekanan berkumpulan atau gimik murahan tidak akan melemahkan prinsip perjuangan kami dalam mempertahankan politik berfakta, beradab dan berteraskan kepentingan rakyat.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.