Penyelesaian Isu Penggredan Jawatan di Sekolah Rendah






Raden Mohamad


Alhamdulillah. Setelah bertahun-tahun tiga isu besar dalam sistem perjawatan sekolah rendah berlarutan tanpa penyelesaian tuntas, akhirnya titik noktah berjaya ditemukan.


Langkah ini menandakan satu kejayaan dasar yang amat penting, hasil kepimpinan berprinsip dan berjiwa rakyat oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.


Di bawah kepimpinan beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia berjaya menamatkan polemik panjang melibatkan kedudukan dan pengiktirafan tiga kumpulan utama dalam struktur kepimpinan sekolah rendah.


(ISU 1)


Guru Penolong Kanan (DG48) tidak boleh bertukar

Sebelum ini, ramai Guru Penolong Kanan sekolah rendah gred DG48 terperangkap di sekolah yang sama tanpa peluang mobiliti.


Dengan kelulusan baharu daripada JPA, mereka kini dibenarkan memohon pertukaran ke mana-mana sekolah. Ini menandakan satu reformasi struktur yang lama dinanti, membuka ruang keanjalan dan keadilan dalam pengurusan sumber manusia pendidikan.


(ISU 2) 


Guru Akademik Biasa (DG48) tidak layak dilantik sebagai Guru Penolong Kanan


Sekatan lama yang menafikan potensi guru berpengalaman kini dihapuskan.


Melalui penambahbaikan penggredan baharu, Guru Akademik Biasa pada gred DG48 kini boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Guru Penolong Kanan. Ini mencerminkan keberanian YB Menteri mengangkat prinsip merit dan kebolehan sebagai asas pelantikan, bukan sekadar kekangan birokrasi lama.


(ISU 3)


Guru Besar (DG48) diturunkan apabila naik gred DG52/DG54


Isu paling lama dan sensitif ini akhirnya diselesaikan dengan penuh hikmah. Melalui sistem penggredan baharu yang diluluskan JPA, Guru Besar tidak lagi perlu diturunkan ke jawatan Guru Akademik Biasa apabila naik ke gred lebih tinggi.


Mereka dikekalkan sebagai Guru Besar dengan pengiktirafan setimpal. Langkah ini bukan sekadar memperbetulkan struktur, tetapi memulihkan maruah kepimpinan pendidikan di peringkat akar umbi.


Sesi pembentangan rasmi penambahbaikan penggredan ini berlangsung pada 7 November 2025, dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha KPM, dan dijangka berkuat kuasa mulai Januari 2026.


Sekalung penghargaan kepada kepimpinan KPM, JPA dan rakan-rakan NUTP yang berusaha bersama-sama memartabatkan profesion keguruan ini. Hasil kerjasama ini, isu yang sekian lama dapat diselesaikan. 


Kejayaan ini bukan kecil nilainya. Ia adalah hasil political will dan policy courage seorang Menteri yang tidak membiarkan masalah berlarutan, sebaliknya memilih untuk menyelesaikannya dengan tuntas dan manusiawi.


Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan dan kredit kepada YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, atas komitmen luar biasa menyelesaikan isu-isu legasi yang sekian lama membelenggu warga sekolah rendah.


Kepimpinan beliau membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tentang sistem dan struktur, tetapi tentang manusia di dalamnya, tentang keadilan, pengiktirafan dan kepercayaan.


Langkah ini mengukuhkan keyakinan bahawa di bawah Kerajaan Madani, suara guru bukan hanya didengar tetapi ditindakkan. Inilah makna sebenar dasar pendidikan yang berjiwa rakyat.


DR




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.