PANGLIMA TUDM TINJAU PESAWAT PEJUANG SUKHOI SU-57 DARI RUSIA







Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, meninjau pesawat pejuang generasi kelima, Sukhoi Su-57 dari Rusia dan teknologi pertahanan udara masa hadapan yang lain di Pameran Udara Dubai 2025 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Dalam satu hantaran TUDM di Facebook, Norazlan dilihat memeriksa jet berteknologi tinggi itu, sambil mengambil peluang untuk duduk di kokpit dan menerima taklimat berkenaan spesifikasi pesawat pejuang berkenaan.


Su-57 adalah pesawat pejuang multirole berkembar enjin, pelbagai peranan dan sukar dikesan (stealth), dibangunkan biro reka bentuk Sukhoi.


Ia adalah pesawat pejuang generasi kelima pertama Rusia, direka untuk menggantikan pesawat lama dan bertujuan untuk misi pertempuran udara serta serangan darat atau maritim.


Pembangunan pesawat ini bermula pada 1990-an di bawah program 'Prospective Airborne Complex of Frontline Aviation' (PAK FA), dengan penerbangan pertama pada 2010 dan penyertaan rasmi dalam perkhidmatan pada 2020.


Dalam pada itu, lawatan Norazlan, yang berlangsung dari 16 hingga 21 November di Dubai World Central, adalah sebahagian daripada usaha berterusan TUDM untuk menilai keupayaan aeroangkasa baharu sambil mengukuhkan diplomasi pertahanan dengan rakan antarabangsa.


Beliau turut memeriksa pelbagai platform canggih di pameran udara yang menampilkan lebih 1,500 pempamer pertahanan dan lebih 200 pesawat dalam demonstrasi udara serta pameran statik.


Ini termasuk pejuang generasi baharu, pesawat pengangkut, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), avionik, sensor, teknologi rangkaian misi serta pelbagai inovasi lain yang selaras dengan pembangunan keupayaan jangka panjang TUDM.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.