
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
KOTA KINABALU, 16 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan RM116.8 juta bagi melaksanakan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) yang dijadual pada 29 November depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata jumlah itu termasuk untuk pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya bagi melicinkan perjalanan pilihan raya.
Katanya, seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, SPR juga akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Tempoh kempen, katanya selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.
“Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17, manakala sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran. PRU DUN Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR berhubung PRN17 Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.