Tabung Haji adalah institusi yang sangat penting dan berharga untuk rakyat Malaysia.
Selepas terheret dengan pelbagai pelaburan yang tidak baik dan amalan kewangan yang dipersoalkan, Tabung Haji diberi nafas apabila aset-aset toksik dikeluarkan dari Tabung Haji dan ditanggung oleh rakyat Malaysia, melalui satu penstrukturan kewangan yang berlaku dalam tahun 2019.
Dari satu sudut, keyakinan bahawa tadbir urus Tabung Haji bertambah baik ada tanda-tanda pulih, jika kita melihat kepada jumlah deposit yang masuk berbanding yang keluar.
Ini trend simpanan deposit Tabung Haji sejak 2019:
2019:
Masuk - RM15b Keluar RM - 21b
2020:
Masuk - RM17b Keluar - RM13b
2021:
Masuk - RM20b Keluar - RM15b
2022:
Masuk - RM23b Keluar - RM21b
2023:
Masuk - RM22b Keluar - RM23b
Kita belum dapat penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit bagi tahun 2024.
Namun, ada sedikit kebimbangan sekiranya trend lebih banyak deposit dikeluarkan daripada yang disimpan, ini akan menyulitkan keadaan.
Tabung Haji kini tidak lagi boleh beroperasi seperti dulu-dulu, atas tiga sebab utama:
Pertama:
Masalah kewangan yang ditanggung sebelum ini, melibatkan suntikan dana RM19.9 bilion dari dana awam apabila kerajaan menerbitkan sukuk untuk membeli pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian.
Suntikan dana ini perlu dibayar balik oleh Tabung Haji apabila masa untuk membayar sukuk itu tiba.
Besar kemungkinan Tabung Haji tidak mampu membayar keseluruhan RM19.9 bilion yang disuntik, namun apa-apa bayaran pun akan ada kesan kepada kedudukan kewangan Tabung Haji.
Maka, nilai pulangan kepada pendeposit tidak boleh tinggi seperti dahulu, yang menyebabkan orang ramai tidak begitu berminat lagi untuk menabung di Tabung Haji.
Kedua:
Kos pengurusan ibadah haji sebenarnya jauh lebih tinggi sekarang berbanding 10-20 tahun yang lepas. Tabung Haji pula tidak boleh menaikkan harga yang dikenakan untuk membayar kos itu, jadi ada unsur subsidi yang mengekang kadar keuntungan Tabung Haji.
Lebih tinggi subsidi yang dibayar setiap tahun untuk mengekang kenaikan kos haji, lebih rendah keuntungan yang dicatat, lebih rendah kadar hibah yang dapat diisytiharkan, maka kembali kepada masalah pertama iaitu kebimbangan kadar tabungan semakin perlahan.
Ketiga:
Giliran naik haji adalah lebih panjang diakibatkan kuota yang terhad bagi sesebuah negara.
Mereka yang mendaftar sekarang mungkin terpaksa menunggu 50 hingga 70 tahun untuk mendapatkan giliran, menyebabkan ada yang merasakan mereka tidak akan berpeluang menunaikan ibadah haji.
Ini juga mempengaruhi kadar simpanan pendeposit, berbalik kepada masalah pertama.
Tiga masalah berangkai ini akan mempengaruhi kedudukan Tabung Haji dalam tahun-tahun yang akan datang.
Sebagai seorang rakyat biasa, saya harap pimpinan kerajaan, pembangkang, tokoh-tokoh agama dan pimpinan masyarakat ada juga berbincang mengenai perkara ini agar kita dapat nilai penyelesaian yang hendak dibawa oleh setiap pihak.
Apa pandangan anda?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.