Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Israel agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera.
Beliau menegaskan ini adalah sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.
Beliau memberi jaminan kepada semua bahawa Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.
“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla.
“Saya menggesa Israel agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera!,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
Flotila bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Anwar yang juga penaung misi Global Sumud Flotilla akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara Malaysia terlibat.
Beliau menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.