ASEAN+3 Digesa Percepat Penubuhan Rizab Bekalan Perubatan – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pada Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-28 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2025. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar gagasan ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) iaitu China, Jepun dan Korea Selatan mempercepatkan penubuhan Rizab Bekalan Perubatan Serantau APT (APTRMS) sebagai mekanisme kesiapsiagaan ampuh bagi menghadapi kecemasan kesihatan peringkat global.

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28 di KLCC hari ini, Perdana Menteri menyifatkan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam meningkatkan ketahanan kesihatan awam selepas pengalaman pandemik COVID-19.

“Pengalaman ASEAN Campur Tiga menunjukkan bahawa cabaran bersama boleh ditukar menjadi kekuatan. Justeru, kita mesti memperdalamkan lagi penglibatan dan kerjasama yang menjadi kunci kestabilan serantau,” katanya.

Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-28 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2025. Foto ASEAN

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Luar Jepun merangkap Penyelaras ASEAN+3, Motegi Toshimitsu; Perdana Menteri China, Li Qiang serta Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, yang buat kali pertama menghadiri sidang kemuncak itu.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan kerangka ASEAN+3 yang diwujudkan selepas Krisis Kewangan Asia 1997 kekal sebagai antara platform paling berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global, termasuk krisis kewangan global 2008 dan pandemik baru-baru ini.

Menurut Anwar, pertumbuhan ekonomi serantau mesti bersifat adil dan inklusif, dengan penekanan terhadap pembangunan wanita dan belia bagi memastikan Asia Timur kekal sebagai rantau yang mampan, saling berhubung dan aman.

“Kita mesti memastikan pertumbuhan yang adil, kemakmuran dikongsi bersama dan kemajuan membawa kedamaian. Generasi muda dan wanita perlu dipersiapkan untuk membina Asia Timur yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau yakin kerjasama ASEAN+3 akan terus menjadi tonggak kestabilan, peluang dan harapan bagi seluruh rantau.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.