
Bantuan segera sebanyak RM10 juta diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat membantu dalam menyelaras koordinasi bencana serta mangsa banjir yang terkesan mendapat bantuan segera.
PENDAPAT, 18 Sep – Dalam menghadapi musim tengkujuh, koordinasi pengurusan bencana seperti banjir memerlukan penglibatan semua pihak, daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) sehinggalah masyarakat setempat.
Kesiapsiagaan yang menyeluruh ini adalah kunci untuk memastikan setiap persediaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah mula melanda beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.
Kita mahu jabatan dan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam memainkan peranan kritikal dalam menyelaras operasi serta memastikan penduduk terjejas dibawa keluar dengan selamat.

Namun, penglibatan sukarelawan dan komuniti setempat juga amat penting dalam fasa awal, seperti melaporkan keadaan semasa, membantu memindahkan mangsa dan menyediakan pusat-pusat pemindahan sementara di kawasan masing-masing.
Selain itu, bantuan kecemasan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peruntukan sebanyak RM10 juta baru-baru ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua pihak.
Walaupun jumlahnya dilihat kecil, ia adalah simbolik kepada keprihatinan kerajaan MADANI melakukan yang terbaik terutamanya rakyat di Sabah yang dilanda banjir dan tanah runtuh.

Pada peringkat individu, masyarakat digesa untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Mereka perlu mengambil inisiatif untuk membuat persediaan awal, seperti menyimpan dokumen penting, menyediakan beg kecemasan, dan memastikan keselamatan ahli keluarga.
Kesemua elemen ini, dari koordinasi agensi, sumbangan kewangan, hingga kesiapsiagaan komuniti, adalah penting dalam memastikan pengurusan bencana berjalan dengan baik.
Ia bukan sahaja tentang menyediakan bantuan, tetapi juga tentang membina ketahanan dan kesedaran kolektif untuk menghadapi cabaran yang tidak menentu serta kekangan daripada cuaca ekstrim ekoran perubahan iklim dunia sekarang.

Justeru, semua pihak digesa agar lebih berwaspada dan sentiasa mengamalkan panduan yang telah diumumkan kerajaan bagi menghadapi MTL untuk tempoh beberapa bulan mendatang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.