Presiden Iran hubungi Anwar, hargai ketegasan Malaysia pertahan Gaza


 

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza.

Perdana Menteri berkata, Iran menggesa agar Malaysia terus mendepani usaha diplomatik dalam menentang kekejaman dan genosid yang masih berterusan di bumi Palestin.

Anwar turut menyampaikan komitmen Malaysia yang konsisten bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa, malah dengan menggembleng kerjasama pemimpin serantau dan global termasuk Presiden Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan.

“Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Beliau menambah, mereka turut berbicara mengenai hubungan dua hala Malaysia–Iran dan senada untuk terus memperkukuh persahabatan, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.

Presiden Pezeshkian turut memanjangkan jemputan rasmi untuk Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat.


“Saya sampaikan penghargaan atas kesediaan beliau untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara,” ujarnya lagi.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.