Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menerima memorandum berkaitan isu #KeadilanUntukZara dalam satu himpunan aman di Taman Tugu dan Pintu Utama Parlimen Malaysia hari ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memorandum itu diterima oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim, sebelum beliau sendiri menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di Bangunan Parlimen Malaysia untuk membincangkan kebimbangan yang dibangkitkan.
Beliau juga tidak menunggu lama dan lantas menjawab empat tuntutan yang dibangkitkan dalam memorandum berkenaan.
“Ada empat tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum ini ditujukan khusus kepada KPM. Saya perincikan seperti berikut berserta tindakan yang sedang diambil pihak Kementerian,” katanya.
Bagi tuntutan pertama iaitu melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional khususnya berkaitan isu buli, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat.
Tuntutan kedua, mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk SOP jelas dan tegas terhadap kes buli, akan dilaksanakan oleh KPM.
“KPM bersetuju dengan cadangan ini dan akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa. Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk tambah baik garis panduan sedia ada,” katanya.
Bagi tuntutan ketiga iaitu mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir dan warden, beliau berkata garis panduan menangani salah laku buli perlu dipatuhi di semua institusi pendidikan KPM.
‘Aspek latihan akan terus diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden.
“Tuntutan keempat yang meminta penjelasan terbuka kepada masyarakat berhubung kes ini…KPM menyambut baik langkah PDRM mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani kes yang melibatkan Allahyarham anakanda Zara Qairina.
“Kementerian memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilaksanakan oleh pihak polis. Perkembangan berkenaan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak PDRM,” katanya lagi.
Pada masa sama Fadhlina berkata kes Allahyarham Zara sudah menjadi perhatian utama dalam kementerian san beliau meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.