Dalam pertemuan Menteri KPKM dengan Ketua Pengarah FAO di Rome, Malaysia menekankan keperluan reformasi FAO agar lebih adil dan bebas dominasi kuasa besar, khususnya dalam isu keterjaminan makanan. Malaysia turut cadang kerjasama lebih erat dengan ASEAN, sedia menjadi tuan rumah FAO Regional Conference, dan komited memperkukuh penyertaan belia serta wanita dalam program FAO.
Hari ini saya mengadakan pertemuan rasmi dengan Ketua Pengarah FAO, H.E. Dr. Qu Dongyu, sempena Sidang FAO ke-44 di Rome, Itali.
Dalam sesi ini, saya tekankan pandangan Malaysia yang kritikal terhadap dominasi kuasa-kuasa besar dalam menentukan hala tuju organisasi antarabangsa. Kita tidak boleh terus membiarkan isu keterjaminan makanan dijadikan alat geopolitik, lebih-lebih lagi apabila rakyat yang rentan seperti di Gaza dinafikan akses kepada bantuan makanan.
Kami turut membincangkan keperluan reformasi FAO agar proses membuat keputusan lebih telus, adil dan inklusif. Saya menyambut baik cadangan agar Malaysia menjadi tuan rumah FAO Regional Conference yang akan memperkukuh lagi peranan Malaysia di peringkat serantau.
Perbincangan juga merangkumi kerjasama teknikal (TCP) termasuk Banci Pertanian 2024 dan pembangunan sektor akuakultur negara. Saya nyatakan hasrat Malaysia untuk melihat lebih banyak penyertaan bakat muda dan wanita dalam pelbagai program FAO, termasuk latihan industri dan penempatan profesional.
Malaysia turut mencadangkan agar FAO memperluas kerjasama dengan ASEAN, khususnya dalam keselamatan makanan, pertanian digital dan kerjasama Selatan-Selatan.
Malaysia kekal komited menyokong mandat FAO demi mewujudkan sistem makanan global yang adil, telus dan mampan bukan hanya untuk negara maju, tetapi untuk semua.
#FAO2025
#MADANIBekerja
#KPKMMalaysia
#CukupDanTerjamin



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.