HarapandailyMay 26, 2025
Oleh DR SHAH NOR BASRI
Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang mendakwa kemerosotan
ekonomi negara menjadi punca kepada kemunduran kawasan seperti Rantau Panjang
adalah satu lagi episod penafian realiti oleh pemimpin Pas.
Tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah
memperlihatkan usaha melepaskan diri daripada tanggungjawab yang telah lama
diabaikan.
Hakikatnya, kedudukan ekonomi Kelantan yang daif dan kemerosotan potensi
pelancongan di Rantau Panjang adalah akibat langsung daripada kegagalan
pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pas selama lebih tiga dekad.
Tertinggal jauh
Data rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
(MIDA) dan Laporan Ekonomi Tahunan Kementerian Kewangan secara konsisten
menunjukkan Kelantan adalah antara negeri paling kurang menerima pelaburan
langsung asing.
Mengikut laporan MIDA bagi tahun 2023:
l Selangor menerima
FDI bernilai RM60.1 bilion, tertinggi dalam negara.
l Pulau Pinang
mencatatkan RM42.3 bilion.
l Perak pula
menerima RM9.5 bilion.
l Kelantan,
sebaliknya, hanya mencatatkan FDI sebanyak RM0.5 bilion, antara yang terendah
bersama Perlis dan Terengganu.
Jumlah ini membuktikan bahawa
kelembapan ekonomi Kelantan tidak berpunca daripada kemelesetan ekonomi
nasional, tetapi daripada kelemahan struktur pentadbiran negeri yang tidak
berupaya mencipta iklim pelaburan yang kondusif.
Zon Bebas Cukai Rantau Panjang suram
kerana kegagalan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pas.
Mengapa pelabur asing tidak memilih Kelantan?
Jawapannya mudah — tiada infrastruktur sokongan, dasar pembangunan yang
lemah, birokrasi negeri yang tidak mesra pelabur, dan tiada pelan jangka
panjang yang strategik.
Bandingkan dengan Selangor dan Pulau Pinang yang bukan sahaja mempunyai
taman perindustrian moden dan sistem logistik cekap.
Malah, dasar kerajaan negeri mereka menjurus ke arah mempercepatkan
proses kelulusan pelaburan dan membina ekosistem perniagaan yang menyeluruh.
Potensi dibazirkan
Sebagai kawasan sempadan yang terletak berhampiran dengan Sungai Golok,
Rantau Panjang sepatutnya menjadi pusat perdagangan dan pelancongan bertaraf
serantau.
Namun, lawatan ke kawasan itu membuktikan sebaliknya. Rantau Panjang
hari ini tidak lebih daripada pasar sempadan yang bercelaru, tidak terurus,
kotor, dan tidak mesra pelancong.
Ketiadaan zon ekonomi khas yang terancang, kekurangan promosi
pelancongan oleh agensi negeri, serta tiadanya inisiatif pembangunan
infrastruktur seperti pusat informasi pelancong, pengangkutan awam tempatan dan
ruang niaga moden menyebabkan kawasan ini menjadi satu lagi “mangsa” kepada
kelemahan kerajaan negeri.
Bandingkan dengan Padang Besar di Perlis atau Wang Kelian, yang walaupun
kecil, menerima pelaburan daripada program pelancongan rentas sempadan.
Bahkan di Perak, kawasan seperti Bandar Taiping berjaya diangkat semula
sebagai destinasi warisan berikutan kerjasama strategik kerajaan negeri dengan
Tourism Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut data dari Tourism Malaysia (2022):
l Kelantan mencatat
hanya 2.1 juta pelancong domestik, jauh lebih rendah berbanding Selangor (8.9
juta), Pulau Pinang (6.4 juta) dan Perak (5.2 juta).
l Perbelanjaan
pelancong di Kelantan adalah sekitar RM600 juta, manakala Pulau Pinang mencatat
lebih RM2.3 bilion.
Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja pelawat kurang datang ke Kelantan,
tetapi mereka juga tidak berbelanja banyak di sana.
Ia suatu petunjuk kelemahan penawaran produk pelancongan dan kegagalan
strategi pemasaran pelancongan negeri.
Tambahan lagi, Rancangan Tempatan Negeri Kelantan langsung tidak
mengutamakan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan
ekonomi.
Tidak terdapat inisiatif yang serius untuk membangunkan kampung budaya,
destinasi sejarah Islam atau ekopelancongan sungai dan bukit, yang sepatutnya
menjadi kekuatan semula jadi Kelantan.
Dibelenggu masalah
Lebih malang, Kelantan terus dibelenggu oleh isu asas seperti:
l Bekalan air tidak
bersih – masalah ini berlarutan sejak dua dekad lalu.
l Kadar kemiskinan
tinggi – Kelantan mencatat kadar kemiskinan mutlak 12.4% (Jabatan Perangkaan
Malaysia, 2022), berbanding Selangor (1.1%) dan Pulau Pinang (1.8%).
l Penghijrahan
tenaga kerja muda – Kelantan menjadi negeri dengan kadar penghijrahan keluar
tertinggi, khususnya anak muda dan golongan profesional yang mencari peluang di
luar.
Semua ini berlaku walaupun kerajaan negeri menerima peruntukan besar
dari kerajaan Persekutuan setiap tahun – termasuk melalui agihan hasil minyak,
bantuan penyelenggaraan jalan negeri, dan bantuan kebajikan.
Menguncupnya
iltizam
Mengaitkan kemerosotan Rantau Panjang dengan “ekonomi negara menguncup”
bukan sahaja tidak logik, malah tidak jujur.
Ekonomi Malaysia secara keseluruhan mencatat pertumbuhan 4.2% pada suku
pertama 2024 menurut Bank Negara Malaysia (BNM), dengan sektor perkhidmatan dan
pembuatan mencatat peningkatan.
Sebaliknya, yang menguncup adalah wawasan dan iltizam kerajaan negeri
Kelantan untuk membangunkan negerinya secara tuntas dan menyeluruh.
Tanggungjawab pembangunan negeri terletak di bahu kerajaan negeri.
Setelah lebih 30 tahun memerintah, Pas seharusnya berhenti menyalahkan
pihak luar dan mula mengambil tanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku.
Rakyat Kelantan perlu menuntut jawapan bukan alasan.
*DR SHAH NOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam di Jordan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.