ANIL
NETTO/ALIRAN
Apa kaitan PKR dengan usaha
mereformasi institusi? Sangat sedikit. Salah faham bahawa parti itu pembawa
obor reformasi mestilah diketepikan.
Perjuangan untuk mereformasi institusi tidak
bermula dengan pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet pada 1998. Ia bermula
beberapa dekad lebih awal, dengan berpuluh-puluh aktivis sosial dan politik
ditahan secara berkala.
“Reformasi” yang dilaung oleh PKR, terutamanya oleh
keluarga dan penyokong Anwar merupakan sanggahan terhadap pemecatan Anwar
selaku timbalan PM dan timbalan presiden Umno oleh Perdana Menteri ketika itu,
Dr Mahathir Mohamad, pada 1998.
Matlamat parti itu adalah untuk menggulingkan
kerajaan Barisan Nasional dan merampas kuasa.
Selepas gagal merampas kuasa daripada Mahathir, PKR
kemudiannya mendakwa mengusung agenda keadilan sosial, kesaksamaan dan
meritokrasi.
Anwar sendiri kemudiannya didakwa atas tuduhan
rasuah dan liwat. Amnesty International berpendapat perbicaraan Anwar
“mendedahkan wujud corak manipulasi politik institusi negara utama termasuklah
melibatkan polis, pejabat pendakwa raya dan badan kehakiman”.
Sudah tentu, jika anda bertanya kepada kerajaan “Madani” yang ada sekarang, bilamana salah guna kuasa tersebut ditangani, untuk memastikan tiada orang lain yang akan mengalami akibat dan ketidakadilan yang sama, boleh jadi anda tidak akan mendapat jawapan yang begitu meyakinkan.
Baru-baru ini, selepas hampir 30 bulan memerintah,
Perdana Menteri Anwar menegaskan bahawa kerajaannya kekal komited kepada
reformasi. Namun, katanya, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Beliau bercakap tentang reformasi namun tampaknya semua seperti hanya janji
bulan dan bintang. Anak beliau Nurul Izzah juga mengulangi bahasa yang sama
untuk menyokong bapanya. Kata Nurul Izzah, Reformasi tidaklah ditinggalkan
tetapi laluannya tidak akan berlaku dengan pantas. Tampaknya ia hanyalah
retorika ‘modal air liur’ yang sama.
Ahli politik PKR dan DAP perlu diingatkan bukan mereka sahaja yang memperjuangkan keadilan sosial dan reformasi. Ramai aktivis sosial, pemimpin NGO dan pemimpin tersohor yang lain juga bertarung habis-habisan, kadangkala membayar harga yang tinggi, dalam perjuangan. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, jiwa mereka barangkali masih akan resah – kerana banyak reformasi yang sangat diperlukan masih tidak dapat direalisasikan.
Sesetengah ahli politik yang tidak tahu malu malah
bertindak dan berkelakuan seolah-olah mereka memperoleh sendiri jawatan dan
kuasa yang mereka nikmati sekarang.
Realitinya, advokasi, kempen dan perjuangan untuk
isu-isu penting yang telah diperjuangkan selama beberapa dekad – malah yang
pernah menjadi sebahagian daripada agenda ahli politik dalam kerajaan ini –
kini seakan terkubur jauh di bawah banyak alasan.
Belas kasihan dan empati terhadap masyarakat
terpinggir di kalangan sebilangan ahli politik kini seakan menghilang setelah
mereka mengecap kekuasaan.
Ambil contoh laporan oleh jawatankuasa reformasi
institusi, yang dirangka oleh tokoh-tokoh terkemuka semasa Pakatan Harapan
memegang kuasa persekutuan buat pertama kali di bawah Mahathir. Adakah kerajaan
Madani mempunyai tekad politik untuk melaksanakan cadangan dalam laporan itu?
PKR mesti mengingati kekalahannya yang memalukan
ketika pilihan raya umum 2004. Parti itu kehilangan semua kerusi yang
ditandinginya kecuali satu, Permatang Pauh, yang disandang isteri Anwar, Dr Wan
Azizah Wan Ismail.
Begitulah, arus boleh cepat berubah dalam sekelip
mata jika rakyat memilih untuk enggan memaafkan dan melupakan, apalagi jika
janji tidak ditepati.
Pada pilihan raya umum 2008, gabungan pembangkang
Pakatan Rakyat yang diketuai PKR – digerakkan oleh perhimpunan besar-besaran
oleh Hindraf dan Bersih – memenangi 82 kerusi parlimen dengan sokongan 46.8%
undi popular. PR juga mengambil alih lima kerajaan negeri.
Peratusan undi popular PR menghampiri 50.3% undi
popular BN, yang memberikan 140 kerusi kepada pakatan pemerintah. Lihat
bagaimana PR memenangi 58 kerusi kurang daripada BN walaupun hanya ketinggalan
3.5% undi popular.
Perbezaan ini disebabkan terutamanya oleh gerrymandering, yang masih belum diperbetulkan. Adakah kerajaan Madani akan mengeksploitasi kelebihan ini dengan mengumumkan pilihan raya umum awal, iaitu sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya harus diadakan iaitu menjelang 2026? Atau adakah ia akan membetulkannya sebelum pilihan raya umum yang harus diadakan menjelang 2028?
Pembaharuan sistem pemilihan cukup mendesak untuk
memastikan pilihan raya yang bebas dan adil. Ia tidak boleh dilengahkan.
Beberapa pengkaji politik percaya Anwar mungkin
memanggil pilihan raya awal sebelum persempadanan semula dilakukan. Ideanya
adalah untuk merampas antara 25-30 kerusi daripada Perikatan Nasional yang
Pakatan Harapan kalah dengan undi yang tipis – terutamanya apabila PH dan BN
yang dipimpin Anwar telah bergabung.
Keputusan pilihan raya kecil Air Kuning baru-baru
ini bagaimanapun tidak begitu memberangsangkan bagi pasukan Madani. Gabungan
undi PH-BN untuk Air Kuning jatuh daripada 15,963 (68.0% undi popular) dalam
pilihan raya negeri 2022 kepada 11,065 (60.7%) kali ini.
Pembaharuan utama yang telah lama tertunggak ialah
pengasingan kuasa yang jelas antara eksekutif, badan perundangan dan badan
kehakiman.
Ahli politik di pihak kerajaan berhujah bahawa
gabungan itu dihalang oleh dinamik sosio-politik dan agama yang kompleks.
Bergerak terlalu pantas melakukan pembaharuan boleh merisikokan perpecahan
politik bagi kerajaan Madani. Ini barangkali menjelaskan sikap pemimpin PH yang
kelihatan suam-suam kuku terhadap reformasi.
Ada pemerhati yang lain tidaklah begitu terkesan
dengan hujah ini dan menegaskan PH hanya kekurangan tekad politik.
Ada yang mencadangkan bahawa reformasi institusi
mati sebaik saja Anwar mengangkat sumpah sebagai PM dengan sokongan Umno, yang
menjadi batu penghalang terbesar untuk reformasi sejak merdeka. Kepercayaan
sebegini tidaklah berlaku tanpa asas.
Tidak lama selepas “kerajaan perpaduan” ditubuhkan,
Umno memerah pakatan dengan mengambil alih beberapa kementerian yang mempunyai
paling banyak sumber. Ahli politik Umno, beberapa daripada mereka yang sudah
tercemar, dilantik ke syarikat berkaitan kerajaan, agensi dan badan kawal selia
serta mendambakan jawatan seperti yang dipertua negeri.
Siapa yang boleh melupakan rentetan individu yang
didakwa dengan “dilepas tanpa bebas”. Yang paling mengejutkan ialah Keputusan
melibatkan seorang pemimpin kanan Umno selepas mahkamah telah menemui kes prima
facie terhadapnya atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan
pengubahan wang haram. Ini berlaku selepas 77 hari perbicaraan telah diadakan
dan 114 saksi dipanggil.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.