Pagi tadi saya berangkat ke Kuching, Sarawak bagi menyusun beberapa perencanaan terkait pembangunan di negeri ini. Usai tiba, saya terus ke Wisma Bapa Malaysia untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof; serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Dalam mesyuarat ini, saya menegaskan keperluan agar seluruh jentera kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita.
Saya turut mendengar pembentangan berkaitan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi memperkukuh ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak, dan Malaysia secara keseluruhan.
Mesyuarat turut membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaraskan dengan perancangan Persekutuan. Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja









No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.