Malaysia memandang serius kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini ke atas eksport negara kita. MITI sedang aktif berunding dengan pihak berkuasa AS, menekankan prinsip perdagangan yang adil, dan yang penting, Malaysia tidak mempertimbangkan kenaikan tarif sebagai tindak balas.
Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, sedang membangunkan strategi komprehensif untuk mengurangkan potensi impak kenaikan tarif tersebut. Ini termasuk memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas sedia ada seperti CPTPP dan RCEP, menggunakan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) untuk manfaat perdagangan bersama dan memuktamadkan Perjanjian Perlindungan Teknologi dengan AS, serta memupuk kerjasama baharu dalam ASEAN.
Kami juga akan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan Malaysia dengan mempercepat pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Di peringkat ASEAN, mesyuarat pertama Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN – yang ditubuhkan pada Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN pada Februari 2025 – juga akan diadakan tidak lama lagi.
Dalam menghadapi cabaran ini, asas ekonomi Malaysia kekal mantap, dengan permintaan domestik yang stabil dan pasaran yang pelbagai sebagai penampan. MITI komited untuk menyokong industri yang terjejas dan mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dengan AS. MITI percaya ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan menghadapi cabaran ini.
#TZA #MITI #PemacuPotensiGlobal #Malaysia #perdagangan #ekonomi #MADANIIBekerja #USA #Tarif #NGCC #ASEAN #NIMP2030


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.