
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai dialog maya yang dipengerusikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva pada 23 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 24 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia menggembleng usaha untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050 sebagai usaha negara dalam menangani perubahan iklim global.
Perdana Menteri menegaskan komitmen itu sejajar dengan matlamat negara untuk dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim dunia.

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis, Anwar memaklumkan bahawa beliau bersama 16 Ketua Negara dan Kerajaan lain telah menyertai dialog maya yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres, dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, sebagai persediaan menghadapi Persidangan Perubahan Iklim ke-30 (COP30).
“Dalam dialog ini, para pemimpin bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam menangani isu perubahan iklim, serta membincangkan persediaan untuk penetapan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) yang akan datang,” kata Anwar.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050, yang disokong oleh dasar-dasar kukuh seperti Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelaksanaan cukai karbon yang akan bermula tahun hadapan.
Tambah beliau, Malaysia juga menekankan pentingnya kerjasama global dan pembiayaan iklim yang adil, terutama untuk negara membangun.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu tindakan iklim serantau yang lebih kukuh, memperjuangkan peralihan tenaga yang adil dan inklusif, serta menjadikan ASEAN sebagai hab untuk inovasi hijau dan pelaburan mampan,” kata Anwar.
Anwar juga menekankan pentingnya kerjasama global dalam menangani cabaran perubahan iklim dan berkata Malaysia akan terus memperjuangkan langkah-langkah yang lebih agresif bagi memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.