Korban Gempa Bumi Myanmar Kini Melepasi 3,000 Orang

 


Pasukan penyelamat kini terus berusaha mencari mangsa runtuhan bangunan yang masih hidup sejak 28 Mac lalu. Foto VNA

KARACHI, 3 Apr – Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa terselamat selepas angka korban gempa kuat bermagnitud 7.7 di Myanmar Jumaat lalu melebihi 3,000 orang, dengan ratusan lagi masih hilang, menurut media rasmi pada Khamis.

Jumlah kematian meningkat kepada 3,003 pada Rabu, dengan 4,515 orang cedera dan 351 lagi dilaporkan hilang, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Kedutaan Myanmar di Jepun di Facebook.

Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban, manakala 72 lagi masih hilang di negara jiran Thailand, selepas sebuah bangunan pencakar langit yang dalam pembinaan runtuh akibat gempa berpusat di wilayah Sagaing, Myanmar.

Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi mangsa di kawasan bangunan runtuh di Mandalay, Myanmar pada 31 Mac 2025. Foto Reuters

Gempa kuat bermagnitud 7.7 dan 6.4 melanda sebahagian besar wilayah tengah Myanmar yang dihuni 28 juta penduduk, meruntuhkan bangunan serta mengakibatkan komuniti terjejas tanpa bekalan makanan, air dan tempat perlindungan.

Pihak berkuasa cuaca meramalkan hujan luar musim bermula 11 April ini, yang boleh menjadi cabaran baharu kepada pasukan penyelamat dan pekerja bantuan dalam usaha membantu penduduk di negara dilanda perang saudara itu.

Setakat ini, 53 penerbangan bantuan mendarat di Myanmar, manakala lebih 1,900 anggota penyelamat dari 15 negara, termasuk Asia Tenggara serta China, India dan Rusia, telah tiba bagi membantu operasi menyelamat.

Tentera yang memerintah negara itu pada Rabu mengisytiharkan gencatan senjata selama tiga minggu terhadap kumpulan penentang bagi memberi laluan kepada operasi menyelamat.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.