KITA KEMPEN BERHEMAH



Saifuddin Nasution


 Jika parti lawan memilih pendekatan kempen berasaskan maki hamun dan serangan peribadi, kita pula hadir dengan pendekatan yang matang, berhemah dan berteraskan fakta. Kita kemukakan kepada rakyat hujah-hujah yang kukuh mengapa mereka wajar memilih Calon Nombor 1 dari Barisan Nasional, Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai wakil rakyat di DUN Ayer Kuning.










Inilah antara perkara utama yang saya tekankan ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Angkatan Muda Keadilan(AMK)  Cabang Tapah malam ini, yang turut disertai oleh rakan seperjuangan saya, YB Fadhlina Sidek.


Kita pilih untuk berkempen secara sihat dan beradab. Kita angkat calon kita dengan fakta dan rekod yang jelas iaitu latar belakang pendidikan yang baik, pengalaman sebagai bekas Ahli Majlis, serta komitmen beliau untuk berkhidmat kepada rakyat. 


Kita juga terangkan kepada pengundi bahawa apabila wakil rakyat datang daripada komponen kerajaan yang mentadbir, banyak urusan akan menjadi lebih mudah, lebih banyak bantuan dapat disalurkan, dan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan.


Inilah naratif yang kita bawa iaitu naratif yang membina, bukan meruntuh. Kita tolak politik kebencian dan budaya maki hamun sebab kita percaya rakyat kini semakin matang dan bijak dalam membuat penilaian.


Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Maaf kerana tidak dapat berada lebih lama bersama anda semua kerana saya terpaksa bergegas pulang ke Putrajaya kerana ada urusan penting yang menanti.


Teruskan bekerja dengan semangat yang tinggi dan tekad yang utuh. Semoga kemenangan berpihak kepada kita!


#MalaysiaMadani

#PerakSejahtera

#PRKAyerKuning



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.