Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi tampil sinis mengkritik kerajaan. Kali ini dia menjadikan slogan reformasi – yang sinonim dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim – sebagai sasaran.
Ketika ini, kata Mahathir, rakyat berada dalam ketakutan kerana didakwanya kebebasan untuk bersuara sudah tiada.
“Kerana tidak boleh silap sikit akan disoal oleh polis.
"Sekarang tidak boleh cakap 3R (raja-raja Melayu, agama dan kaum). Tetapi masalah yang timbul ialah yang berkaitan dengan 3R.
“Mereka Melayu. Tidak boleh cakap pasal Melayu. Mereka beragama Islam tidak boleh cakap pasal Islam.
"Mereka nak rujuk kepada raja. Jangan cakap pasal raja. Jangan cakap berkenaan addendum. Jangan tiup wisel. Awak akan disiasat. Jangan politikan itu dan ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial petang ini.
Tambah Mahathir – yang kini menjadi penasihat kepada empat negeri ditadbir PN (SG4) – ketakutan itu juga dialami oleh wakil rakyat.
“(Kalau) Cakap kena gantung tak bertali. Sebab itu mereka takut. Bukan sahaja akan disoal oleh polis. Boleh masuk dalam tahanan pun. Bukan sehari dua, tetapi berbulan," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa mahkamah kini tidak digunakan sebaik mungkin bagi menentukan kesalahan individu tertentu.
Lebih daripada itu, dakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, ada individu yang sedang dibicarakan tetapi kes berkenaan “dihentikan” dan individu terbabit diberi jawatan menteri.
Malah, Mahathir mendakwa, proses pelantikan hakim juga ingin diubah oleh kerajaan.
"Sekarang nak tukar cara hakim dipilih. Sudah tukar pentadbiran dewan-dewan.
"Reformasi – tutup mulut rakyat itulah re-4-ma-si Liau-Liau," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.