Teruskan Menghayati Al-Quran Dengan Mata Hati – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan untuk berpesan pada diri dan seluruh umat Islam dengan pesanan taqwa, teruskan tadabbur al-Quran dengan mata hati. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Mar – Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan umat Islam supaya meneruskan tadabbur iaitu menghayati, merenung dan memikirkan al-Quran dengan mata hati sempena sambutan Nuzul al-Quran, hari ini.

Perdana Menteri berkata, wahyu pertama diterima Rasulullah SAW iaitu Iqra’ (Bacalah), yang menjadi peristiwa penting dalam Nuzul al-Quran, menjadi titik permulaan sebuah era berasaskan ilmu.

Katanya, ia juga menjadi panduan dalam mengangkat martabat insan dengan nilai keadilan dan ihsan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan pada diri dan seluruh umat Islam dengan pesanan taqwa, teruskan tadabbur al-Quran dengan mata hati.

“Al-Quran adalah hidayah dan petunjuk, bagi hamba yang bertaqwa, dan bagi yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan sahaja akan merasai kemanisan taqwa.

“Salam Nuzul al-Quran saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia walau di manapun kalian berada,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkongsi sejarah peristiwa penting Nuzul al-Quran ketika wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’.

Beliau turut memetik firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah pada permulaan ayat 185:

شَهۡرُ رَمَضَانَ الَّذِىۡٓ اُنۡزِلَ فِيۡهِ الۡقُرۡاٰنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَ بَيِّنٰتٍ مِّنَ الۡهُدٰى وَالۡفُرۡقَانِۚ

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengingati umat Islam supaya mengejar keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini.

“Semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu dengan lailatul qadar, malam seribu bulan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.