
Menguasai AI bukan hanya memberi nilali tambah kepada anak muda tetapi semakin banyak ilmu ditimba, semakin tinggi nilai akhlak dan adab tersemat di dada mereka. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 10 Mar – Dewasa ini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini semakin diminati terutama di kalangan pemain industri digital, pembuatan malah dalam kursus latihan teknologi dan vokasional (TVET).
Bagaimanapun ia mampu dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam pembelajaran jika pelajar terdiri daripada kalangan anak muda tidak meninggalkan budaya membaca dan berfikir secara kritikal untuk menimba ilmu.
Sewaktu sesi ‘Temu Anwar’ di sebuah universiti tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beberapa ‘petua’ agar pelajar tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada AI tetapi sebaliknya menjadikan ia sebagai kekuatan baharu untuk membantu menambah ilmu yang dipelajari.

“Anda boleh bergantung (pada AI). Cuma jangan tinggalkan yang asas. Anda perlu membaca, belajar dan berfikiran kritis baru boleh memanfaatkan AI dengan sebaiknya. Kebergantungan keterlaluan kepada AI (menyebabkan) kita tak baca lagi dah (buku) dan (cari) semua jawapan di Google. Tapi di Google itu jawapannya (secara) rumusan dan ringkasan.
“Yang tidak kita lakukan adalah membaca. Membaca itu adalah apabila kita menelaah buku, lihat daripada keseluruhan pemikiran, kita tidak ambil (hanya) satu cebisan (ilmu),” katanya.
Imbangi Pengaruh AI Dengan Perubahan Persekitaran

Menurut perdana menteri lagi, selain mengambil kira maklumat atau kandungan yang dikeluarkan oleh AI, konteks kepada output itu juga memainkan peranan yang penting.
Sehubungan itu, beliau berkata walaupun kandungan yang dikeluarkan oleh AI itu tepat, namun tidak bermakna konteks kepada maklumat itu juga bertepatan.
“Bukan bermakna maklumat (daripada AI itu tidak betul tetapi konteks juga kadang-kadang tidak betul. Dalam apa-apa pun, termasuk belajar al-Quran ada teks (kandungan) dan konteks, ada ayat, tafsir dan takwil. Itu daripada awal kita dilatih untuk apa yang disebut sebagai terjemahan and tafsiran,” katanya.

Selain itu, Anwar turut menyentuh mengenai ketaasuban sesetengah individu terhadap penggunaan peranti, yang menurut beliau hal itu bukan masalah baharu sebaliknya telah dikenal pasti sejak 1980-an dengan pengenalan komputer.
Jelasnya kebergantungan kepada peranti tidak dapat menggantikan nilai kemanusiaan dan hubungan sesama ibu, bapa, keluarga dan sahabat yang terkesan akibat ketaasuban menggunakan alat itu.
“Pemikir-pemikir masa itu (1980-an) dalam bidang pendidikan sudah beri amaran, bimbang anak muda hanya tergantung kepada peranti (gadget) dan meninggalkan budaya membaca,” katanya.

Ini penting bagi mengimbangi pengaruh AI terhadap minda anak muda dengan cabaran perubahan persekitaran semasa yang menuntut mereka bergerak lebih pantas menimba ilmu bagi meningkatkan keboleh pasaran masing-masing dalam industri kelak.
Memanfaatkan AI bermakna anak muda berkenaan berada dalam arus perdana tanpa meminggirkan soal akhlak, adab dan sopan-santun sebagai seorang rakyat Malaysia.
Apa yang digariskan Perdana Menteri adalah untuk kebaikan anak muda itu sendiri kerana merekalah bakal mencorakkan masa depan negara apabila tiba masanya.

Anak muda kini mesti merebut peluang dan ruang yang dibuka seluas-luasnya tanpa mengendahkan hiruk-pikuk politik kebencian dan permusuhan yang cuba disebarkan di menara gading kerana akal dan fikiran waras serta maklumat tepat melindungi mereka dari terjerumus ke dalam kancah kebinasaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.