Kekalahan Wan Fayhsal Bukti Beliau Cuma ‘Tong Kosong’ – Faizul Abdul Ghani

Kekalahan Wan Ahmad Fayhsal dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Machang dengan hanya meraih 26 undi amat-amat memalukan.
JOHOR BAHRU, 22 Feb – Kekalahan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang menunjukkan beliau cuma ‘tong kosong’ di kawasan sendiri.
Menurut penganalisis politik, Faizul Abdul Ghani, ‘populariti’ yang cuba diraih di Dewan Rakyat nampaknya tidak menjadi di kawasan parlimennya sendiri kerana terlalu menumpukan isu-isu nasional sedangkan isu-isu tempatan kurang diketengahkan ketimbang ahli parlimen lain.
“Beliau perlu sedar, penolakan anggota partinya sendiri memberi isyarat bahawa semacam ada rasa tidak puas hati di kalangan pengundi dan anggota parti dengan peranannya selaku ahli parlimen yang sepatutnya menjuarai isu-isu rakyat.
“Namun saya ingin mengucapkan ‘tahniah’ kepada anggota Bersatu yang menolak Wan Fayhsal agar beliau sedar diri dengan kekalahan yang amat-amat memalukan kerana tak semestinya bila popular di TikTok, tetapi realitinya gagal mengangkat masalah di tempat sendiri,” sindirnya secara sinis.
Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal kalah kepada ‘orang lama’, Kamaruddin Ab Kadir atau Cikgu Din yang juga merupakan penyandang jawatan itu penggal lepas.
Pada pemilihan itu, Cikgu Din memperoleh undi sebanyak 103 sementara Wan Ahmad Fayhsal sekadar meraih 26 undi.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu negeri Kamarudin Md. Nor ketika dihubungi mengesahkan keputusan pemilihan tersebut.
Katanya, pemilihan itu berlangsung di luar musim selepas Bahagian Machang tidak mengadakan mesyuarat sebelum ini.
“Hal ini kerana, Bahagian Machang berdepan penggantungan selepas beberapa perkara tidak menepati syarat yang ditetapkan,” katanya.
Untuk rekod, kesemua calon Bersatu di Kelantan menggunakan simbol ‘bulan’ milik Pas dalam pilihan raya umum lalu.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.