Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2024 bahawa sebanyak 72 usul diterima daripada UMNO bahagian di seluruh negara yang menuntut Najib Razak diberi pengampunan penuh.
Katanya, ini menunjukkan UMNO tidak akan menghentikan usahanya bagi menuntut keadilan dan pembebasan bekas Perdana Menteri itu.
“Sesungguhnya, selagi bossku terperangkap di tirai besi, suara dan ikhtiar UMNO tak pernah terhenti.
“Mohon untuk kita terus berdoa kerana berdoa itu senjata kita.
“Semoga Allah SWT lembutkan hati dan bukakan jalan agar pembebasan Najib berlaku berdasarkaqn Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan selaku Setiasaha Agung UMNO pada PAU2024.
Saya ada beberapa persoalan berkaitan perkara ini, terutama kerana nama 72 bahagian UMNO yang meluluskan usul tersebut tidak pula dimaklumkan.
Pertama, kenapa hanya 72 UMNO bahagian saja yang mengemukakan usul menuntut pembebasan Najib, sedangkan UMNO ada 191 bahagian?
Ke mana perginya 119 UMNO bahagian yang lain?
Apakah mereka tidak setuju Najib diberi pengampunan penuh?
Jika isu pembebasan Najib kononnya begitu penting untuk diperjuangkan, kenapa ibu pejabat UMNO tidak mengatur agar semua 191 bahagian UMNO meluluskan usul berkenaan?
Kedua, – adakah UMNO bahagian yang diterajui pimpinan Top 5 – Presiden (Bagan Datuk), Timbalan Presiden (Rembau), 3 Naib Presiden( Cameron Highlands, Pasir Gudang dan Titiwangsa), turut sama meluluskan usul menuntut pengampunan penuh untuk Najib itu?
Ketiga, mahu dibuat apa dengan usul itu setelah ia dibahas dan diluluskan oleh PAU2024 yang berakhir esok?
Dulu, sebarang usul PAU mudah dijadikan kenyataan kerana UMNO mengetuai kerajaan dan Presiden UMNO adalah juga Perdana Menteri, namun sekarang, parti yang mengetuai kerajaan ialah PH dan Perdana Menteri pula disandang oleh Presiden PKR.
Apakah UMNO akan mengangkat usul menuntut pengampunan penuh itu kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk tindakan seterusnya atau habis setakat bergema di Dewan Merdeka, WTCKL saja?
Keempat, jika Anwar tidak memperdulikannya, buat tak tahu dan enggan berbuat apa-apa untuk melaksanakannya usul yang dituntut itu, apa UMNO mahu lakukan seterusnya?
Apakah UMNO mahu terus berada dalam kerajaan dan bila tiba PAU tahun depan nanti, sekali lagi tuntutan membebaskan Najib akan terus dikumandangkan lagi?
Atau UMNO sedia keluar meninggalkan kerajaan sebagai tanda kesetiaan tak berbelah bahagi kepada Najib, walaupun sedar tindakan keluar kerajaan itu tidak pun akan menyebabkan kerajaan tumbang?
Kelima, kenapa dalam isu ini, UMNO cuba melangkah bendul dalam perjuangannya kerana parti itu tidak pula ternampak bersungguh-sungguh menuntut kerajaan mengesahkan sama ada wujud atau titah adendum Agong ke-16 yang membenarkan Najib diberi tahanan rumah?
Jika tahanan rumah yang khabarnya telah ada titah adendum pun tidak diperjuangkan sepenuh hati oleh UMNO, bagaimana mahu menuntut pembebasan penuh buat Najib?
Akhirnya, apa nasib Najib?
Apa yang boleh saya kata – usul ini takkan ke mana-mana, sama macam sejuta tandatangan yang mahu dikumpul UMNO sebelum ini tapi sudahnya, senyap begitu saja.
Masa makin berlalu tapi seinci pun kedudukan Najib tidak berubah daripada Penjara Kajang.
Walaupun bukan penyokong Najib, saya turut kesian kepadanya. – ShahbudinHusin 23Ogos2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/08/23/beberapa-persoalan-tentang-usul-72-umno-bahagian-tuntut-pengampunan-penuh-najib.html