Sudah sah Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini bagi meminda perlembagaannya.
Perlembagaan yang bakal dipinda itu ialah untuk mengetatkan lagi peraturan bagi menghalang ahli parti itu memberi sokongan kepada parti lawan sebagaimana dilakukan enam Ahli Parlimennya sebelum ini.
Dalam akta lompat parti, kedudukan seseorang sebagai Ahli Parlimen hanya akan tergugur jika beralih menyertai parti lain dan seterusnya perlu diadakan suatu pilihan raya kecil semula.
Tetapi, kedudukan sebagai Ahli Parlimen tidak tergugur jika hanya mengumumkan sokongan kepada pihak lain tanpa mengumumkan keluar parti.
Berikutan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu memberi sokongan terbuka kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim demi mendapatkan peruntukan untuk pembangunan bagi kawasan Parlimen masing-masing, Bersatu mendapati wujud keperluan meminda perlembagaannya dan untuk mengelakkan lebih ramai menderhaki kesetiaan demi memperolehi ganjaran.
Beberapa parti lain sebenarnya telah lebih dulu meminda perlembagaan masing-masing kerana menyedari wujud kelompangan dalam akta lompat parti yang sedang dikuatkuasakan.
Namun demikian, dalam Bersatu sekarang, bukan isu enam Ahli Parlimen yang mengalihkan sokongan itu saja yang menjadi topik hangat.
Turut menjadi perbualan ialah pemilihan parti yang dijangka pada Jun ini di mana syarat kelayakan untuk sesiapa bertanding jawatan tertinggi parti mestilah pernah memegang jawatan dalam MPT selama dua penggal.
Bersatu diluluskan pendaftarannya pada 2017 dan pemilihan pertama pada 2020 yang lalu.
Pemilihan pada Jun 2024 ini adalah pemilihan kali yang kedua bagi Bersatu.
Dalam hal berkaitan, meskipun Mahiaddin Md Yasin telah mengumumkan ingin mengekalkan jawatan Presiden Bersatu sepenggal lagi dan Hamzah Zainuddin yang dikehendaki ramai untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti bagi memberi wajah baru kepada parti turut menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu, tetapi di sebalik wujud desakan berterusan agar Ketua Pembangkang itu bertanding juga melawan Mahiaddin, hambatan di depannya ialah syarat kelayakan bertanding yang tidak memihak kepadanya.
Hamzah menyertai Bersatu pada 2019 dan dilantik sebagai Setiausaha Agung pada Mac 2020.
Ini bermakna, beliau belum cukup syarat dua penggal berada dalam MPT atau Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan secara automatik tiada kelayakan untuk bertanding melawan Mahiaddin.
Pun begitu, sebagai tanda sokongan yang diperolehinya untuk menerajui Bersatu, pejabat beliau yang disebut sebagai “White House”, selain sentiasa dikunjungi ramai ahli dan pimpinan parti setiap hari, di situ turut menjadi medan perbualan untuk menyokong dan memastikannya menjadi Presiden Bersatu menggantikan Mahiaddin.
Mereka secara umumnya menyatakan Bersatu tidak mungkin memperolehi keputusan lebih baik dalam PRU16 akan datang jika parti terus diterajui Mahiaddin, lantaran imejnya sebagai Perdana Menteri yang gagal sebelum ini masih kuat melekat di hati majoriti rakyat.
Hanya dengan berubah pucuk pimpinan dan Hamzah dirasakan paling sesuai, barulah diyakini ada sinar baru boleh muncul di hujung terowong.
Maka, senang cerita, terlanjur Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini, selain untuk meminda perlembagaan bagi mengetatkan peraturan berkaitan lompat parti, apa kata dipinda sekali syarat kelayakan bertanding jawatan Presiden itu?
Syarat itu bukan saja dilihat tidak demokratik dalam konteks Bersatu sebagai parti yang baru kali kedua mengadakan pemilihan, tetapi juga merupakan halangan yang nyata untuk “move on” bersama harapan yang mungkin lebih baik mampu diperolehi pada PRU16 akan datang.
Selain itu, dengan menghapuskan syarat kelayakan dua penggal berada dalam MPT itu juga dengan sendirinya meletakkan Mahiaddin sebagai pemimpin sejati – tidak macam jawatan Presiden UMNO – yang menang hanya kerana dilindungi oleh sesuatu peraturan atau ketetapan.
Jadilah pemimpin yang berani dilawan dan sedia dicabar pada bila-bila masa, bahkan secara moralnya, menang bertanding melalui perlawanan jauh lebih bernilai berbanding menang secara tidak bertanding kerana orang lain dikenakan sekatan.
Lagi pula, takkan Mahiaddin nak menang sebagai Presiden melalui “cara betina” begitu?
Soal sama ada Hamzah benar-benar akan bertanding atau tidak, itu haruslah dijadikan persoalan kedua, yang penting ruang untuk bertanding itu biarlah sentiasa terbuka. ShahbudinHusin 19/02/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/02/19/apa-kata-perhimpunan-agung-khas-bersatu-2-mac-ini-pinda-sekali-syarat-kelayakan-cabar-presiden.html