Projek Inisiatif Pendapatan
Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang digerakkan kerajaan didapati
berjaya menjana pendapatan bulanan purata jauh lebih tinggi dari sasaran
minimum RM2,000 sebulan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli
berkata sasaran tersebut dapat dilihat daripada data hasil pendapatan peserta
IPR INTAN di Putrajaya selepas pusingan pertama tuaian sehinggga Januari tahun
ini.
Dalam perkongsiannya di
Facebook, beliau memaparkan hasil pendapatan tujuh peserta yang menanam mulai
September tahun lalu dan menuai pada Disember lepas.
Peserta pertama berusia 44
tahun mengaut pendapatan RM23,413, peserta 2 (44) RM21,917, peserta 3 (21)
RM17,458, peserta 4 (41) RM18,266, peserta 5 (23) RM15,189, peserta 6 (68)
RM11,990, peserta 7 (61) RM18,266.
"Maknanya, julat tambahan
pendapatan bulanan yang dijana bagi setiap kitaran empat bulan ialah antara
RM3,000 (paling rendah) ke RM5,800 (paling tinggi)," katanya.
Jelas Rafizi, bagi projek itu,
kerajaan tidak memberi modal tunai atau baja serta perkakas seperti sebelum
ini.
Sebaliknya kata beliau kerajaan
sediakan tapak pertanian moden yang telah dilengkapi sistem pengairan dan
pembajaan moden.
"Tugas peserta ialah
membentuk unit kelompok yang dibimbing oleh pasukan teknikal pertanian
moden," jelasnya.
Katanya pendapatan tambahan
hasil pertanian moden IPR INTAN yang paling rendah (Putrajaya) adalah RM3,000
sebulan iaitu lebih tinggi dari gaji median nasional iaitu RM2,600 sebulan
meliputi sebahagian besar pemegang diploma dan ijazah. Formula pertanian moden
untuk membasmi kemiskinan telah berjaya dibuktikan di beberapa tapak di seluruh
negara.
Jelas Rafizi pihaknya
menyasarkan untuk mewujudkan peluang tersebut kepada 20,000 peserta di seluruh negara
menjelang akhir 2025.
"Ini bersamaan dengan
peluang pekerjaan yang diwujudkan dengan membina 200 pusat data yang memerlukan
pelaburan beratus bilion kerana kilang moden tidak menggunakan ramai pekerja.
"Barulah berbaloi kena
kecam jika rakyat dapat melihat sendiri tapak-tapak pertanian moden ini tumbuh
bagai cendawan di seluruh negara," katanya.
Terdahulu pada Ahad lalu,
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pertama kali melawat tapak IPR
INTAN di Tanjung Rambutan yang berada di dalam Parlimen Tambun.
Rafizi menjelaskan IPR INTAN
menggunakan pendekatan menjadikan tapak pertanian sebagai “kilang” dengan
berusaha mengelakkan peserta mengalami risiko kerugian seperti serangan
penyakit dan kekurangan hasil tuaian.
"Peserta menjadi pekerja
yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan
diberi latihan.
"Kalau mereka putus asa
awal, ada peserta baru yang masuk untuk menyambung seperti pekerja kilang baru
mengganti yang telah berhenti," ujarnya.
"Peserta diberi jaminan
menerima sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan setiap kali pusingan tanaman,
dengan elaun RM600 sebulan dalam 2-3 bulan pertama sebelum boleh dituai,"
katanya lagi.