Usahawan tani IPR-Intan jana pendapatan RM3,000 sebulan



 



Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang digerakkan kerajaan didapati berjaya menjana pendapatan bulanan purata jauh lebih tinggi dari sasaran minimum RM2,000 sebulan.



Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sasaran tersebut dapat dilihat daripada data hasil pendapatan peserta IPR INTAN di Putrajaya selepas pusingan pertama tuaian sehinggga Januari tahun ini.



Dalam perkongsiannya di Facebook, beliau memaparkan hasil pendapatan tujuh peserta yang menanam mulai September tahun lalu dan menuai pada Disember lepas.



Peserta pertama berusia 44 tahun mengaut pendapatan RM23,413, peserta 2 (44) RM21,917, peserta 3 (21) RM17,458, peserta 4 (41) RM18,266, peserta 5 (23) RM15,189, peserta 6 (68) RM11,990, peserta 7 (61) RM18,266.



"Maknanya, julat tambahan pendapatan bulanan yang dijana bagi setiap kitaran empat bulan ialah antara RM3,000 (paling rendah) ke RM5,800 (paling tinggi)," katanya.



Jelas Rafizi, bagi projek itu, kerajaan tidak memberi modal tunai atau baja serta perkakas seperti sebelum ini.



Sebaliknya kata beliau kerajaan sediakan tapak pertanian moden yang telah dilengkapi sistem pengairan dan pembajaan moden.



"Tugas peserta ialah membentuk unit kelompok yang dibimbing oleh pasukan teknikal pertanian moden," jelasnya.



Katanya pendapatan tambahan hasil pertanian moden IPR INTAN yang paling rendah (Putrajaya) adalah RM3,000 sebulan iaitu lebih tinggi dari gaji median nasional iaitu RM2,600 sebulan meliputi sebahagian besar pemegang diploma dan ijazah. Formula pertanian moden untuk membasmi kemiskinan telah berjaya dibuktikan di beberapa tapak di seluruh negara.



Jelas Rafizi pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan peluang tersebut kepada 20,000 peserta di seluruh negara menjelang akhir 2025.



"Ini bersamaan dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan dengan membina 200 pusat data yang memerlukan pelaburan beratus bilion kerana kilang moden tidak menggunakan ramai pekerja.



"Barulah berbaloi kena kecam jika rakyat dapat melihat sendiri tapak-tapak pertanian moden ini tumbuh bagai cendawan di seluruh negara," katanya.



Terdahulu pada Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pertama kali melawat tapak IPR INTAN di Tanjung Rambutan yang berada di dalam Parlimen Tambun.



Rafizi menjelaskan IPR INTAN menggunakan pendekatan menjadikan tapak pertanian sebagai “kilang” dengan berusaha mengelakkan peserta mengalami risiko kerugian seperti serangan penyakit dan kekurangan hasil tuaian.



"Peserta menjadi pekerja yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan diberi latihan.



"Kalau mereka putus asa awal, ada peserta baru yang masuk untuk menyambung seperti pekerja kilang baru mengganti yang telah berhenti," ujarnya.



"Peserta diberi jaminan menerima sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan setiap kali pusingan tanaman, dengan elaun RM600 sebulan dalam 2-3 bulan pertama sebelum boleh dituai," katanya lagi.