Kredit Harapan Madani

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika mengadakan sidang akhbar bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari ke Mesir pada Selasa. Foto Bernama
KAHERAH, 12 Nov – Tiada perlindungan diberi kepada sesiapa juga yang terbabit dalam kes rasuah termasuk jika individu berkenaan mahu menjadi pemberi maklumat bagi pembongkaran sesuatu kes rasuah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, beliau akan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan teliti terhadap semua kes termasuk skandal rasuah membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek.
Katanya, beliau tidak akan berunding dengan mana-mana pemberi maklumat kes rasuah yang mahu mendapatkan perlindungan kerana tindakan itu disifatkan sebagai aneh.

“Jangan gunakan jawatan Perdana Menteri untuk dapatkan perlindungan kepada sesiapa (bagi kes rasuah) kerana saya tidak akan buat begitu…Saya tak akan bagi jaminan itu.
“Dasar Kerajaan MADANI adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang tidak terbabit langsung dalam kes rasuah.
“Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan rasminya selama empat hari ke Mesir, hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Jika saya dapat surat (minta perlindungan itu), saya akan serah terus kepada SPRM…ambil surat itu dan teliti sepenuhnya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau memberi laluan sepenuhnya kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terbabit rasuah selepas siasatan lengkap dilakukan.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan mengambil peduli terhadap suara yang lantang mengecam usaha membanteras rasuah yang dilakukan pihaknya kerana ia dilakukan secara telus dan adil.
“Kita tak akan desak, tak akan tetapkan tempoh bila siasatan selesai, sebaliknya serah kepada pihak berkuasa menjalankannya secara bebas,” katanya..
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.