MARKAH D TAMPARAN YANG MEMALUKAN ANWAR
20 November 2024
Pagi ini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tiba di tanah air setelah melakukan lawatan rasmi ke beberapa negara – Mesir, Arab Saudi, Peru dan terakhir Brazil.
Dilaporkan beratus orang menyambut kepulangannya di KLIA pagi tadi di sebalik lawatannya ke luar negara kali ini lebih diselimuti kontroversi berkaitan wawancaranya dengan CNN berkaitan Israel.
Berikutan kontroversi itu, mengadakan sambutan kepulangan Anwar adalah bertujuan untuk menggambarkan beliau sebagai hero negara atas beberapa pencapaian dalam lawatan tersebut, sambil cuba menutup persepsi yang tercetus melalui wawancara CNN itu.
Tetapi, sambutan kepulangan Anwar, berdasarkan gambar dan video yang didapati di media sosial, ia nampaknya tidaklah semeriah dan seramai mana yang selayaknya untuk menyambut kepulangan seorang hero.
Lain kali kalau nak sambut kepulangan seorang hero, buatlah betul-betul dan angkutlah ramai-ramai orang – bukankah PKR sekarang sudah jadi kerajaan?
Takkan tak reti-reti?
Tetapi, apa yang lebih mengaibkan selain sambutan ala-ala saja yang mampu diserlahkan, kepulangan Anwar kali ini yang cuba digambarkan sebagai kepulangan seorang hero turut “dimalukan” oleh Bersih yang sehari sebelum kepulangannya telah membentangkan laporan prestasi kerajaan madani sejak dua tahun lalu dengan hanya memberi markah D.
Pemberian markah D atau spesifiknya 45.8% kepada kerajaan madani oleh Bersih boleh dianggap sebagai “tamparan” yang tepat ke muka Anwar.
Kalau diumpamakan dalam banyak peperiksaan sekolah, perolehan D itu boleh ditafsirkan sebagai “markah cukup makan” saja.
Di zaman dulu, hadiah paling dekat bagi mereka yang beroleh markah D ialah kena marah atau kalau dapat bapa yang agak garang sikit, merasalah kena rotan di tapak tangan sambil diberi amaran agar belajar dengan lebih rajin lagi.
Sebab itu pemberian markah D oleh Bersih, badan pemantau pilihan raya yang sejak dulu diketahui pro PH kepada kerajaan madani yang dipimpin oleh Anwar boleh dianggap sebagai amat mengaib dan memalukan.
Apalagi kalau mengambil kira Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz adalah seorang yang pernah menjadi Presiden Abim antara tahun 2019 hingga 2023.
Abim adalah NGO yang sinonim dengan Anwar dan peneraju-penerajunya selalu ditanggapi sebagai “orang Anwar” belaka.
Orang Tun Mahathir, orang Najib atau orang Muhyiddin – takkan merasa nak jadi Presiden Abim!!
Makna kata, walaupun Faisal pernah mengetuai Abim, beliau ternyata tidak berkompromi terhadap kegagalan kerajaan madani sejak dua tahun lalu.
Markah D diberi terutamanya kerana prestasi buruk yang dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi dengan ketara.
Faisal dipetik sebagai berkata, dua tahun pertama kerajaan madani didapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.
“Kerajaan madani menunjukkan prestasi di bawah jangkaan, dalam pembaharuan pilihan raya, tidak ada kemajuan bermakna dalam isu-isu utama seperti penyelewangan bahagian pilihan raya, gerrymandering, atau memperkenalkan pengundian tanpa hadir untuk pengundi luar negara atau negeri, walaupun di sebalik janji semasa kempen untuk menangani perkara itu.
“Kerajaan juga gagal untuk memulakan dasar dalam memastikan perwakilan yang adil dan membiarkan janji reformasi pilihan raya yang penting tidak ditangani.
“Akta Pembiayaan Politik dan pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya masih tidak lengkap, menimbulkan keraguan tentang komitmen kerajaan terhadap pilihan raya yang telus dan adil,” kata Faisal lagi.
Tidak cukup dengan diberi markah D, Bersih yang diterajui Faisal juga menilai Ismail Sabri Yaakob yang memimpin negara selama hanya 15 bulan sebelum Anwar dinilai sebagai Perdana Menteri terbaik sejak 2009 berdasarkan pembaharuan yang berjaya dilakukannya.
Tanpa gegak gempita dan tanpa laungan reformasi yang berulang-ulang, Bersih melihat Ismai Sabri berjaya mencapai pembaharuan yang ketara dalam tempoh singkatnya selama 15 bulan walaupun menerajui pentadbiran yang tidak stabil, termasuk menandatangani memorandum persefahaman dengan pembangkang.
“Melalui persefahaman itu telah membawa kepada sokongan bipartisan untuk beberapa pembaharuan, termasuk meluluskan undang-undang anti-lompat parti dan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.
“Ismail Sabri turut berjaya memastikan pengagihan dana pembangunan kawasan pilihan raya secara saksama kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, langkah utama dalam memupuk kerjasama dwipartisan.
“Sebaliknya, pentadbiran Anwar yang sudah menjangkau 24 bulan masih belum dapat memperoleh perjanjian reformasi dwipartisan yang setanding untuk melaksanakan reformasi pilihan raya dan demokrasi,” tambah Bersih.
Kalau Bersih sudah beri markah D, apa pula penilaian di mata pengundi kepada Anwar? – ShahbudinHusin 20November2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/11/markah-d-tamparan-yang-memalukan-anwar/