Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan jumlah pelaburan baharu menerusi pertemuan dengan TikTok dan Google ketika Sidang Kemuncak APEC 2024, di Peru baru-baru ini.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan mengenai siri-siri lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara baru-baru ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memberitahu, Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri kerana menerima penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru.
“Anugerah itu antara anugerah tertinggi oleh negara Peru dan ia adalah satu penghormatan serta satu kebanggaan bukan hanya untuk Perdana Menteri tetapi juga untuk negara kita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan wakil Google ketika Sidang Kemuncak APEC 2024 di Peru.
Perdana Menteri menumpukan perbincangan mengenai pemerkasaan ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data.Kedua-duanya merupakan elemen penting yang akan memainkan peranan besar dalam memperkukuh ekonomi digital negara.
Pada Mei lalu, Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) bagi mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia.
Sehubungan itu, Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd di Greater Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan syarikat teknologi gergasi itu.