REFORMASI ANWAR SEMBANG SAJA – KU LI
13 October 2024
Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menurutnya tidak menunaikan janji reformasi yang dilaungkannya sebelum ini.
Malah Tengku Razaleigh, yang lebih mesra disapa sebagai Ku Li, mendakwa reformasi yang dilaungkan hanyalah kerana marah kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Adakah reformasi itu? Sembang sahaja (tertawa).
“Apa yang dilaungkan beliau dahulu hanya kerana marah pada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana ‘belasah’ dan tangkap beliau.
“Maka, wujudlah reformasi dan orang ramai setuju dengan laungan ini. Maka, keadilan patut diberi kepadanya.
“Tetapi, mahu buat reformasi lebih daripada itu belum pun dilakukan. Lihat sekarang apa yang Anwar buat?” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia hari ini.
Ku Li mendakwa walaupun sudah dua tahun Anwar memimpin negara, reformasi tidak dilaksanakan dalam mana-mana undang-undang atau peraturan.
Pada 14 Mei lalu, Anwar menepis kritikan berkenaan pelaksanaan reformasi yang perlahan, dengan berkata perubahan radikal hanya akan mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati.
Katanya, sebab itu reformasi yang diperkenalkan oleh banyak negara di Eropah gagal.
Bagaimanapun, beberapa penganalisis menolak penjelasan itu dengan menyifatkannya sebagai “justifikasi yang lemah”.
Kuasa AGC
Ku Li antara lain berkata kerajaan belum memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.
“Saya tanya anda semula, kuasa Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya, apakah mesti peguam negara menjadi penasihat kepada kerajaan atau menjadi pendakwa di mahkamah (pada masa sama)?,” soalnya.
Dia berkata kerajaan seharusnya memisahkan kuasa mereka, dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) memainkan peranan menasihati kerajaan dan pendakwa raya pula mengambil tindakan undang-undang.
Pada 8 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan sedang menjalankan kajian terperinci berkenaan pemisahan kuasa AGC dan pendakwa raya.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/722419