Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu dua lagi lokasi yang digunakan untuk menyimpan wang susulan siasatan terhadap dakwaan skandal konsesi perlombongan pasir di Selangor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan wang Singapura berjumlah SGD$74,000 (RM243,000 ) dan SGD$78,000 (RM256,000) dirampas di dua lokasi berasingan di Lembah Klang.
Selain itu, katanya, SPRM juga mendapat maklumat ada wang, yang jumlahnya tidak didedahkan, dilaburkan di Singapura.
“Dan juga mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain. Yang ini sedang kita siasat,” katanya.
Ahad lalu SPRM menyerbu sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang disyaki digunakan sebagai tempat menyimpan wang rasuah dan menyita mata wang Singapura berjumlah SGD1,529,000 (RM5 juta).
Wang itu dikatakan untuk membiayai kegiatan politik seorang pemimpin pembangkang.
Terdahulu SPRM menahan bekas pegawai kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, ahli perniagaan yang rapat dengan seorang pemimpin politik, seorang pemandu serta pegawai syarikat penerima konsesi.
Semua mereka berumur 40-an.
Setakat ini seramai 15 orang telah dipanggil memberikan keterangan.
Sementara itu, SPRM juga akan memanggil ahli politik yang dikaitkan dengan seorang daripada empat suspek selepas ini.
“Dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya,” kata Azam dalam sidang media di Sabah hari ini.
Katanya seperti lazimnya, SPRM perlu mendapatkan segala bukti-bukti yang kita rasa wajar dan telah disahkan barulah orang yang berkenaan akan dipanggil.
Ditanya pemberita, dia enggan mendedahkan kedudukan ahli politik itu sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.
“Oh, itu soalan cepumas.
“Saya akan beritahu kami bila masanya sesuai,” katanya.
Kes disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Pencegahan Rasuah 2009.