Menjunjung kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada filasuf dan ilmuwan ulung, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Ternyata pelantikan ini memberi makna besar kepada seorang tokoh yang begitu berjasa kepada dunia Islam dan dunia pemikiran.
Sepanjang hidup, saya amat bernasib baik kerana dapat mendampingi beberapa ilmuwan besar, dan Prof Al-Attas merupakan salah seorang daripada tokoh tersebut.
Beliau memberikan saya bimbingan dan pendedahan dalam pelbagai aspek keilmuan terutamanya sebagai mahasiswa di Universiti Malaya dan semasa saya berkhidmat sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bahkan dalam bidang falsafah, pengaruh beliau terhadap generasi kami begitu mendalam.
Prof Al-Attas bukan sahaja sedia mencurahkan ilmu tetapi sebagai seorang sahabat setia yang turut memberikan dorongan serta semangat ketika saat genting tatkala saya terbungkam di Kamunting menerusi serangkap pantun:
Kemunting buah pedada,
Digoncang gugur tak jadi;
Bunga tersunting di atas dada,
Jasa pagar memakan padi.
Dorongan ini membakar jiwa untuk terus bertahan di Kamunting, lalu saya sampaikan mesej pada Prof Al-Attas dengan pantun:
Kemunting di dalam pagar,
Mekar layu gugur sendiri;
Dengan helah pencak pendekar,
Takkan tergugat pahlawan sejati.
#MalaysiaMADANI