Tuan Hass
Bulan depan adalah dua pilihan raya yang penting untuk menentukan mana hala tuju Malaysia untuk beberapa puluh tahun depan. Satu, pilihanraya Amerika Syarikat, kuasa terbesar dunia.
Tapi yang itu mungkin dalam skala global, tetapi dari skala politik Melayu, bulan November juga adalah bulan pemilihan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau dikenali sebagai Bersatu.
Parti Bersatu ini baru berusia 8 tahun, tetapi ia dah ada dua orang Perdana Menteri. Not bad for parti yang baru berusia darjah dua umurnya. Parti Bersatu ni dipenuhi dengan warlord-warlord politik Melayu yang hebat-hebat belaka. Nama seperti Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainuddin Azmin Ali.
Tetapi kewujudan Bersatu inilah punca mengapa PKR dan UMNO sanggup bergabung seterusnya mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Sebenarnya raison d'etre, sebab utama Kerajaan Cikgu-Anak Murid Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi ini, datang daripada Bersatu. Both of them want Bersatu to die.
Zahid Hamidi adalah Presiden kepada UMNO, parti yang ditubuhkan pada tahun 1946, dan merupakan parti yang tertua yang masih ada sampai hari ini. Sejarah parti ini seiring dengan sejarah Malaysia sejak kemerdekaan. Daripada 10 orang Perdana Menteri, 7 dari UMNO. Dan 3 itu pun bekas dari UMNO. Grand old party.
Anwar Ibrahim adalah Presiden kepada PKR, parti yang ditubuhkan pada tahun 1998, dan walaupun berusia 26 tahun, ia mencoretkan sejarah yang cukup banyak untuk Malaysia. Reformasi, Himpunan Bersih, dan Langkah Kajang. Idealist party.
Kewujudan PKR berlaku selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerusi Timbalan Perdana Menteri. Maka sudah pastilah majoriti daripada kewujudan PKR ini ialah menentang UMNO.
Tetapi mengapa dua parti ini sanggup bergabung untuk melawan Bersatu?
Bersatu ditubuhkan pada tahun 2016, oleh Mahathir dan Muhyiddin Yassin selepas Najib Razak memecat Muhyiddin dan Mahathir meninggalkan parti yang didaftar semula olehnya pada tahun 1988 (Umno Baru). Bermakna ia adalah serpihan UMNO. Maka pada tahun 2016, Bersatu menyertai Pakatan Harapan dan Mahathir mengetuai gabungan itu ketika Anwar di dalam penjara.
Dan pada tahun 2018, buat pertama kalinya dalam sejarah, Barisan Nasional berjaya ditumbangkan dan ia ditumbangkan oleh gabungan yang diketuai oleh Mahathir, ketua Bersatu pada ketika itu.
Kerana itu, Bersatu dilihat sebagai pengkhianat oleh majoriti penyokong UMNO. Ada lah segelintir yang okay dengan Bersatu ni, digelar 'puak broker'.
Puak broker ni secara mudahnya, Zahid dah bungkus dan ikat tepi, simpan dalam peti ais. Zahid ada full control dalam UMNO. Walaupun ada suara membantah, mereka tidak ada pilihan lain supaya duduk di bawah kepimpinan Zahid, atau dipecat dan buat podcast serta jadi DJ radio.
PKR pula, sejak berlakunya Langkah Sheraton pada tahun 2020, kumpulan yang dipanggil 'Kartel' diketuai oleh bekas Timbalan Presiden, Azmin Ali pula, menikam Anwar Ibrahim apabila menyokong Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan.
Maka insentif Anwar yang memimpin PKR dan Zahid yang memimpin UMNO untuk memusnahkan Bersatu adalah top priority untuk mereka berbanding bergocoh sesama sendiri sejak 1998.
Jadi situasi politik kita ialah warlordism, di mana satu warlord yang berkuasa menguasai sebahagian orang, menentang satu warlord yang berkuasa menguasai sebahagian orang. Warlordism Melayu ini yang perlu difahami sebelum mengkaji politik Melayu.
Seperti di dalam wrestling, kita ada Hulk Hogan dalam New World Order, Shawn Michaels dan Triple H dalam Degeneration X, Bret Hart dalam Hart Foundation, atau Roman Reigns dalam The Bloodline, atau Vince McMahon dengan Corporation, warlord Melayu pun begitu juga.
Jangan sangka dalam satu parti, boleh jadi baik dan rapat. Kadang-kadang musuh lagi ketat sesama parti berbanding dengan orang dari parti luar.
Maka selepas Langkah Sheraton, Parti Bersatu ada dua kelompok, mereka yang mengkhianati UMNO yang mengikut Mahathir dan Muhyiddin, dan mereka yang mengkhianati PKR dan mengikut Azmin.