Owww baru ambo faham...

Che Ibrahim


 Perkembangan KB-Sentral dan Isu Perak Transit/CCCC.



Beberapa hari ini beredar surat dari Bahagian Pelaburan, Pejabat SUK Kelantan berhubung dengan perkembangan projek KB Sentral. Isu yang dibangkitkan adalah kenapa projek ini diberikan kepada Syarikat Perak Transit dan kontraktor utama pembinaannya adalah CCCC-ECRL. Kenapa tidak diberikan kepada syarikat milik orang Melayu atau Bumiputera.


Izinkan saya menjelaskan persoalan di atas bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan. Dari hal KB Sentral ini, pelbagai kaedah telah difikirkan oleh kerajaan negeri untuk menjayakannya. Rakyat pula menunggu dan ingin melihat ianya berjaya dilaksanakan. 


Selain dari penswastaan, kerajaan negeri pernah putuskan untuk membinanya sendiri. Tetapi timbul persoalan siapa pula yang akan mengoperasikannya. Kerajaan negeri tidak ada kepakaran membina dan mengoperasikannya mengikut standard yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.


Projek ini tertangguh dan rakyat tertanya-tanya. Antara sebabnya adalah kerana dua buah syarikat sebelum ini menarik diri walaupun pada asalnya bersetuju untuk membina dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Syarikat yang pertama menarik diri setelah empat bulan dilantik manakala syarikat yang kedua pula menarik diri setelah sekitar setahun setengah dilantik untuk melaksanakannya. Projek KB Sentral akhirnya tertangguh hampir dua tahun. Kedua-dua syarikat tersebut sebenarnya pegangan sahamnya Muslim dan Bumiputera. Dalam hal ini kerajaan negeri sebenarnya telah sedaya upaya memberikan keutamaan kepada syarikat milik Muslim atau Bumiputera. Di sini saya nak tegaskan bahawa syarikat milik bumiputera bukan tidak mampu melaksanakannya namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, dalam kes ini mereka terpaksa menarik diri.


Kerajaan negeri tak boleh tunggu lebih lama. Rakyat terus tertanya-tanya. AlhamdulilLah, Perak Transit dan CCCC-ECRL sebagai kontraktor utamanya sanggup penuhi syarat dan berjanji menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan. Mereka juga bersetuju untuk mengoperasikan KB Sentral sebagai stesyen pengangkutan bersepadu Gred A mengikut syarat dan garis panduan yang telah ditentukan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Perak Transit juga ada pengalaman membina dan mengoperasikan sekurang-kurangnya 4 buah stesyen pengangkutan bersepadu sebelum ini.


CCCC-ECRL adalah syarikat yang sedang membina projek ECRL. Rekodnya setakat ini amat baik. Stesyen utama ECRL yang sedang dalam pembinaan di Tunjung hanya bersebelahan dengan tapak KB Sentral. Kita bercadang untuk mengadakan laluan sambungan terus antara stesyen utama ECRL dan KB-Sentral. Selain itu, jalan masuk ke tapak projek KB-Sentral kena melalui tapak stesyen ECRL. Dalam masa yang sama jentera yang diperlukan untuk pembinaan bangunan KB-Sentral sudahpun ada di tapak bersebalahan. Inilah sebab utama mengapa pihak CCCC diutamakan. 


Itulah juga alasan utama kenapa syarikat CCCC mampu berjanji untuk menyiapkan KB-Sentral dalam tempoh yang singkat tanpa perlu kepada permohonan menggunakan laluan ke tapak dan kemudahan logistik yang sudah sedia ada. 


Itulah sebenarnya jawapan kenapa Perak Transit dan CCCC sebagai kontraktor utamanya dipilih oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksana dan menjayakan projek KB-Sentral ini. Ia juga menunjukkan keterbukaan kerajaan negeri serta kepentingan berasaskan merit dalam membuat satu-satu keputusan bagi kepentingan negeri dan rakyat. Walaupun begitu keutamaan kepada syarikat milik Bumiputera yang berkelayakkan juga tetap diutamakan. Perlu juga saya tegaskan bahawa pemilihan syarikat-syarikat ini adalah mengikut kaedah dan prosedur pentadbiran.


Semoga penjelasan ini menjawab persoalan di atas. Dari satu sudut, beredarnya surat ini di kalangan rakyat menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah mengabaikan projek ini sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Ianya tetap berjalan dan menjadi keutamaan.


YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Bin Hassan,

Timbalan Menteri Besar Kelantan.

13 Rabiul Akhir 1446

17hb. Okt. 2024