October 2024
Tiga hari lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli
berkata, kerajaan sedia berdepan gelora daripada rakyat berikutan penarikan
subsidi petrol Ron95 yang bermula pada pertengahan tahun depan.
Beliau mengakui dasar sensitif itu berkemungkinan
akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat apabila ia mula dikuatkuasakan.
“Ia adalah keputusan sekali dalam satu
generasi yang memberi kesan kepada kehidupan semua orang.
“Harapan saya, dan tanggungjawab kita dalam kerajaan, adalah untuk
memastikan kita menguruskan perkara ini dengan betul supaya perubahaan dasar
ini mampan,” kata Rafizi sambil mengakui bahawa inflasi adalah kebimbangan
terbesar kerajaan berikutan penarikan subsidi petrol itu nanti.
Dua perkara yang jelas dibimbangi Rafizi ialah tidak puas hari
rakyat dan tekanan inflasi dan ini tidak dinafikan akan mencetuskan gelora
dalam politik negara.
Kenapa agaknya Rafizi berkata demikian,
walaupun dikatakan hanya kelompok T15 atau 15 peratus rakyat saja yang terkesan
dengan penarikan subsidi petrol itu, manakala 85 peratus lagi iaitu golongan
M40 dan B40 masih boleh terus menikmati subsidi sedia ada.
Pertamanya, dengan penarikan subsidi Ron95 nanti bermakna
lengkaplah sudah janji menurunkan harga minyak yang menjadi simbol perjuangan
Anwar Ibrahim selama ini telah dimungkiri sepenuhnya.
Bermula tahun depan, subsidi petrol Ron95 akan mula ditarik,
manakala sebelum ini subsidi diesel telah pun lebih dulu ditarik subsidinya.
Makna kata slogan – menang hari ini, esok turun harga minyak…telah
bertukar menjadi – menang hari ini, tahun depan kita naikkan harga minyak!!
Yaa beda beduuuu…
Maka itu, wajar sebenarnya untuk Rafizi bimbang tentang gelora
penolakan daripada rakyat berhubung langkah kerajaan itu.
Walaupun penarikan subsidi untuk golongan T15 secara umumnya agak
boleh diterima, tetapi ketika Anwar berjanji dulu, selain ia bermaksud harga
minyak akan diturunkan jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri, bahkan
tidak pernah disebut ada diskriminasi antara golongan mahakaya (T15) dengan
golongan sederhana dan marhaen (M40 dan B40).
Ertinya, penurunan harga minyak yang
dijanjikan itu adalah meliputi semua golongan dan semua rakyat tanpa mengira
kelas kedudukan.
Apa yang berlaku kini adalah kontras sepenuhnya dengan janji yang
diungkapkan dahulu di mana selain golongan T15 akan ditarik subsidi ketika
membeli Ron95, manakala golongan M40 dan B40 pula tetap menerima subsidi
seperti sedia ada.
Bermakna dalam hal ini, golongan M40 dan B40 langsung tidak
menerima penurunan harga minyak sepertimana yang pernah dijanji beribu kali oleh
Anwar sendiri dengan kali terakhir beliau berjanji sedemikian pada 2022 saja
sebelum ini.
Apa yang golongan M40 dan B40 terima ialah harga minyak yang kekal
sepertimana sekarang ini.
Alasan seperti diucapkan Anwar dalam ucapan Belanjawan 2025 bahawa
harga minyak negara kita masih dikira lebih rendah ketimbang di Thailand,
Indonesia dan Singapura sebenarnya sudah lama tertolak jika kita masih ingat
ucapan-ucapan beliau sebelum ini yang mengatakan negara-negara tersebut bukan
pengeluar minyak.
“Kita negara pengeluar minyak, nak buat perbandingan mesti dengan
negara pengeluar minyak juga seperti Brunei, Qatar, Arab Saudi dan Nigeria,”
demikian di antara petikan ucapan beliau yang kini sudah menjadi nostalgia hiba
kepada rakyat yang negara ini.
Pendek cerita, bukanlah tidak boleh langsung
kerajaan menaikkan harga minyak, tetapi di bawah Anwar yang beribu kali
berjanji mahu menurunkan harga minyak sehingga dulu ada yang menggelar beliau
Bapa Penurunan Harga Minyak, menarik balik subsidi Ron95, malah termasuk diesel,
sepatutnya mesti menjadi pilihan terakhir sekali.
Ini tidak, belum sampai dua tahun ia sudah pun dijadikan dasar dan
pendekatan.
Sama ada besar atau kecil gelora yang berlaku pada tahun depan,
sama-samalah kita tunggu, namun yang pasti janji pemimpin yang sama pada PRU16
akan datang tidak mungkin akan dipercayai lagi.
Kalau hutang wajib dibayar, janji pula mesti ditepati. – ShahbudinHusin 24Oktober2024.