SAYA TAK PERCAYA AHLI
POLITIK BERPENGARUH ITU AZMIN…
14 October 2024
Semalam, media gempar melaporkan bahawa SPRM telah
menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan “safe house” seorang ahli
politik berpengaruh di negeri Selangor.
Dilaporkan di dalam serbuan itu telah ditemui wang
tunai Singpura berjumlah SGD1.5 juta atau kira-kira RM5 juta mengikut nilai
mata wang Malaysia.
Difahamkan wang tunai itu adalah untuk tujuan
pelbagai guna, termasuk untuk tujuan politik oleh ahli politik berpengaruh
berkenaan.
Hari ini pula dilaporkan dua buah lagi “safe house” diserbu dan
digeledah oleh SPRM dan ditemui wang tunai berjumlah SGD74,000 (RM243,000) dan
SGD78,000 (RM256,000) atau keseluruahnnya sebanyak RM321,000 di dua
lokasi berasingan di Lembah Klang.
Dengan tiga “safe house” sudah diserbu dan digeledah SPRM,
nampaknya “safe house” tidak lagi “safe” sekarang ini.
Operasi yang dilakukan SPRM ini adalah susulan siasatan skandal
rasuah jutaan ringgit membabitkan Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI)
berkaitan konsesi perlombongan pasir yang dilakukan syarikat cabang pelaburan
kerajaan negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika
mengulas penemuan wang tunai berkenaan mengesahkan pihaknya telah menahan bekas
pegawai kanan di MBI, ahli perniagaan yang rapat dengan seorang pemimpin
politik, seorang pemandu serta pegawai syarikat penerima konsesi.
Difahamkan juga setakag ini seramai 15 orang telah dipanggil untuk
diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Azam turut mengesahkan SPRM akan memanggil ahli politik
berpengaruh yang dikaitkan dengan penemuan wang tunai itu.
“Dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh
pegawai penyiasat saya,” kata Azam.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama
ahli politik tersebut.
“Saya akan beritahu bila tiba masa yang sesuai,” tambahnya lagi.
Berikutan laporan demi laporan berkaitan serbuan SPRM itu,
beberapa akaun media sosial, khususnya Tik Tok dan FB dengan berani membuat
dakwaan kononnya ahli politik berpengaruh yang dikaitkan dengan penemuan
kesemua wang tunai itu ialah Azmin Ali.
Bagaimanapun, kesahihan dakwaan akuan-akaun tersebut tidak dapat
disahkan sama ada benar atau palsu.
Kesemuanya hanya membuat dakwaan rambang tanpa menampilkan
sebarang bukti.
Segala dakwaan itu hanya boleh diterima sebagai berita yang sahih
jika SPRM sendiri tampil mengesahkannya, tetapi agensi penyiasat itu sendiri
belum mahu mendedahkannya.
Dengan itu, dakwaan akaun-akaun media sosial yang mengaitkan Azmin
itu, sesetengahnya merupakan akaun hantu, bolehlah dianggap sebagai khabar
angin, fitnah dan berita palsu semata-mata.
Saya sendiri sehingga ini tidak percaya ahli politik berpengaruh
yang dikaitkan dengan penemuan wang tunai RM5 juta dan RM321 ribu itu
adalah Azmin, bekas MB Selangor dan bekas menteri MITI.
Pada pandangan saya, setelah meneliti perjalanan politik Azmin
sejak sekian lama di mana beliau adalah anak didik Anwar Ibrahim, meskipun
kedua-duanya kini berlainan haluan dalam politik, bukanlah jenis sebegitu yang
mudah terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik serta melanggar
undang-undang.
Tengok wajahnya yang jernih dan bersih saja
sudah cukup untuk meyakinkan bahawa Azmin adalah jenis orang baik-baik.
Untuk itu, saya sama sekali tidak percaya dengan segala dakwaan di
media sosial yang mengaitkan Azmin dengan penemuan wang tunai itu.
Kawan-kawan yang menghubungi saya dan bertanyakan sama ada benar
ahli politik berpengaruh itu ialah Azmin, saya juga tidak ragu-ragu
menyanggahnya.
Keyakinan saya ahli politik berpengaruh itu bukan Azmin dan cubaan
mengaitkan beliau hanya bertujuan untuk memburuk-burukkan namanya.
Lagi pun, ramai lagi ahli politik berpengaruh ada di Selamgor.
Saya hanya akan percaya tentangnya jika setelah SPRM sendiri
mengesahkannya dan seterusnya benar-benar mendakwa Azmin ke mahkamah.
Selagi semua itu tidak berlaku – sekali lagi saya ulang – saya
tidak percaya ia adalah Azmin.
Dan selagi belum ada kepastian, berhentilah memfitnah Azmin. – ShahbudinHusin 14Oktober2024.