ERTINYA SELEPAS INI ISU SIJIL HALAL TAK PERLU DIPANJANGKAN LAGI



Mungkin Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin mengeluarkan kenyataan ini atas arahan Anwar Ibrahim, tetapi yang nyata melalui apa dinyatakannya ini, bantahan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkaitan isu sijil halal untuk restoran terbukti berasas.


Barangkali dalam hal ini Anwar melihat isu berkaitan sijil halal tidak perlu terus diperdebatkan dalam masyarakat.


Ertinya, semua pihak kini kena tutup buku daripada berbalas kenyataan berkaitan isu sijil halal.


Dalam kenyataannya, Azman berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak perlu mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.


Walaupun mengalu-alukan cadangan itu, Azman berkata permohonan sijil halal adalah proses yang sukar.


“Saya mengalu-alukan cadangan menteri (Mohd Na’im Mokhtar). Tetapi, ia tidak perlu diwajibkan.


“Bukan senang nak mohon sijil halal. Ia melibatkan yuran yang agak tinggi serta syarat yang sangat ketat.


“Ini yang menyebabkan ramai pengusaha restoran dan syarikat makanan termasuk milik orang Melayu tidak minat untuk mendapatkan sijil halal walaupun mereka masih menjual makanan halal,” katanya.


Katanya lagi, Jakim perlu mengkaji dengan lebih mendalam sebelum mempertimbangkannya.


Sementara itu, Azman berkata, beliau sebelum ini pernah mengusahakan restoran dan sangat tahu berkenaan isu pensijilan halal. 


“Kita perlu faham, sijil halal dengan makanan halal dua perkara berbeza. Sebagai contoh, hampir 100 peratus restoran Melayu di negara ini menyajikan makanan halal tapi lebih 90 peratus tidak memiliki sijil halal.


“Saya sebagai bekas pengusaha restoran tahu lebih mendalam mengenai isu-isu ini. Maka, saya minta pembangkang dan ahli politik perlu henti mempolitikkan isu ini.


“Saya melihat ada pihak cuba mempolitik isu ini dengan mengaitkan dengan agama dan bangsa. 


“Sebenarnya, menteri (Mohd Na’im) melontar satu cadangan dan MP Seputeh (Teresa) (hanya) memberi pandangannya,” tambahnya lagi.


Dengan kenyataan Azman ini, bererti juga tiada keperluan lagi untuk pihak polis meneruskan siasatan terhadap Teresa.


Tiada apa yang perlu disiasat kerana semuanya hanya sekadar memberi pandangan berdasarkan perspektif masing-masing.


Segala-galanya kini telah selesai, tiada apa-apa yang berubah dalam perlaksanaan dan penguatkuasaan sijil halal di negara kita.


Semua sudah kembali normal, tidak perlu bimbang yang bukan-bukan lagi berkaitan penguatkuasaan sijil halal. – ShahbudinHusin 09September2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/09/09/ertinya-selepas-ini-isu-sijil-halal-tak-perlu-dipanjangkan-lagi.html



No comments:

Post a Comment